Tiga bot nelayan Vietnam ceroboh Malaysia ditenggelamkan

Bot nelayan Vietnam ini ditenggelamkan kerana menceroboh perairan negara serta menangkap ikan tanpa kebenaran

 

MERCHANG– Tiga bot nelayan Vietnam yang telah dilucutkan kerana menceroboh dan menangkap ikan dalam perairan negara ditenggelamkan berhampiran perairan Gong Balai semalam.

Pengarah Maritim Negeri Terengganu, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, kesemua bot tersebut ditenggelamkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Terengganu sebagai tukun tiruan.

Menurutnya, sebelum ini kesemua bot berkenaan telah ditahan serta dilucutkan hak oleh mahkamah sepanjang tahun 2020.

“Kesemua bot ini ditahan melalui Op Kuda Laut yang dilaksanakan sepanjang tahun lepas oleh Kapal Maritim (KM) GEMIA.

“Ini merupakan pelupusan ketujuh dalam tahun ini oleh Maritim Negeri Terengganu dan dijangkakan sebanyak 40 bot lagi bakal ditenggelamkan setelah mendapat perlucutan hak daripada mahkamah pada tahun ini,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sehingga kini, sejumlah 102 bot telah ditenggelamkan sebagai tukun di sepanjang perairan Terengganu oleh Maritim Negeri Terengganu.

“Kaedah penenggelaman sebagai tukun merupakan satu inisiatif dalam memulihara dan menggalakkan biodiversiti marin serta simbolik kepada keseriusan Maritim Malaysia dalam mengekang kemasukan nelayan asing ke perairan negara secara haram.

“Program pelupusan bot ini turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Laut Malaysia, Persatuan Nelayan Kuala Terengganu Utara serta Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT),”katanya.

Beliau berkata, Maritim Malaysia akan terus melaksanakan rondaan untuk mengesan kegiatan pencerobohan nelayan asing dan juga aktiviti-aktiviti yang melanggar undang- undang di sekitar perairan Terengganu.

Rentas7.com/Foto: APMM

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.