Perdana Menteri berpandangan PKPP dikaji semula

Muhyiddin mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) harian mengenai COVID-19 melalui sidang video petang tadi

KUALA LUMPUR-Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berpandangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan yang akan berakhir Disember ini dikaji semula.

Beliau berkata, ini kerana situasi semasa masih tidak berubah sehingga ada sesetengah kawasan terpaksa dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, pelaksanaan PKPP dibincangkan ketika beliau  mempengerusikan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) harian mengenai COVID-19 ssecara sidang video petang tadi.

“Dalam mesyuarat hari ini saya juga berbincang mengenai Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang akan berakhir Disember ini sedangkan situasi semasa masih tidak berubah sehingga ada sesetengah kawasan terpaksa dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Saya berpandangan ada keperluan untuk PKPP ini diteliti semula bagi kawasan-kawasan yang sedang menghadapi penularan semula wabak COVID-19 terutama di negeri-negeri seperti Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Perak”katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Muhyiddin berkata berkata, beliau berasa bimbang dengan peningkatan kes-kes positif COVID-19 di beberapa kawasan di Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Johor yang bertukar daripada zon hijau kepada zon kuning atau merah walaupun tindakan dan pendekatan secara mitigasi dan intervensi telah dipertingkatkan.

Beliau berkata, Sidang Parlimen yang bermula semalam juga terpaksa diberhentikan pada satu petang ekoran petugas Bangunan Parlimen dijangkiti COVID-19.

“Seperti yang kita sedia maklum, sidang Dewan Rakyat baru sahaja bermula semalam dan berlangsung dalam keadaan norma baharu dengan pelbagai prosedur operasi standard (SOP) diperkenal.

“Bagaimanapun sepanjang minggu ini sidang Parlimen diadakan setakat pukul 1 petang sahaja berikutan ada beberapa kes COVID-19 yang melibatkan beberapa petugas di Bangunan Parlimen,”katanya.

Beliau berkata, berikutan kes tersebut, timbul sedikit kebimbangan dalam kalangan Ahli-ahli Parlimen sendiri.

Menurutnya, ia kerana kedudukan Bangunan Parlimen itu sendiri terletak di zon merah dan melibatkan pergerakan keluar masuk Ahli-ahli Parlimen, para pegawai mereka serta kakitangan di situ.

“Saya percaya Yang Dipertua Dewan Rakyat dapat menggunakan kebijaksanana beliau untuk menguruskan perkara ini,”katanya

Tambahnya, mesyuarat mengambil maklum mengenai cabaran Pilihan Raya Kecil Batu Sapi yang akan diadakan hujung tahun ini dan Pilihan Raya Negeri Sarawak dalam situasi COVID-19 yang masih belum reda.

“Mengenai kebenaran mengadakan majlis pernikahan dan solat Jumaat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan ketetapan telah dibuat dan akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum dilaksanakan.

“Dr. Zulkifli juga menjelaskan walaupun kerajaan Arab Saudi telah membenarkan ibadah umrah dijalankan selama 10 hari, kerajaan atas nasihat Kementerian Kesihatan tidak bercadang untuk membenarkan jemaah Malaysia ke sana pada masa ini,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.