250 geosains berkumpul di Langkawi

CCOP kini dianggotai oleh 16 negara ahli, 14 rakan kerjasama dan 19 organisasi antarabangsa.

 

LANGKAWI– Persidangan antarabangsa The 60th Annual Session and 83rd Coordinating Committee For Geoscience Programmes (CCOP) Steering Committee Meeting telah menghimpunkan penyertaan 250 ahli geosains dari 27 buah negara dan pelbagai organisasi antarabangsa.

Persidangan bermula 3 hingga 8 November berprestij ini berfungsi sebagai platform strategik membincangkan hala tuju, cabaran dan strategi inovatif dalam perkongsian pengetahuan serta teknologi terkini aplikasi geosains demi kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan sejagat.

Tema persidangan kali ini ialah ‘Geoscience in Transition’ yang menekankan keperluan untuk menerapkan pendekatan inovatif dalam pengurusan sumber geologi demi keseimbangan antara kemajuan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

Malaysia menjadi ahli aktif CCOP sejak tahun 1966 di bawah naungan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Asia dan Pasifik (UN-ESCAP).

Penglibatan Malaysia menzahirkan komitmen negara terhadap kemajuan pengurusan sumber geologi dan pengurangan risiko bencana geologi yang berkesan serta kerjasama global dalam mitigasi perubahan iklim.

CCOP kini dianggotai oleh 16 negara ahli, 14 rakan kerjasama dan 19 organisasi antarabangsa.

Persidangan ini telah dirasmikan oleh YBrs. Puan Norsham binti Abdul Latip, Timbalan Ketua Setiausaha (Sumber Asli), Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) mewakili YB Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam.

Beliau berkata peranan ahli geosains amat penting dalam memahami dan menguruskan sumber geologi secara mampan dan bertanggungjawab.

Selain itu, beliau menekankan bahawa penerokaan sumber asli secara bijaksana merupakan asas kepada pembangunan lestari, khususnya di Asia Tenggara yang terdedah kepada risiko perubahan iklim.

Menurut beliau lagi, Kerajaan Malaysia komited dalam menyokong inisiatif mampan dalam bidang geosains selaras dengan tema persidangan CCOP pada kali ini.

Persidangan CCOP ini diadakan dalam tiga (3) sesi tematik memfokuskan kepada 3 topik utama iaitu ‘Geoscience for Sustainable Future’, ‘Energy Transition’ dan ‘Climate Change and Disaster Resilience’ melibatkan pembentangan 69 kertas teknikal oleh pemain industri dan intelek, penggubal dasar serta badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan tempatan dan antarabangsa.

Persidangan ini juga turut mempamerkan produk dan perkhidmatan syarikat-syarikat dan agensi terkemuka dalam bidang mineral dan geosains.

Selain itu, peserta juga dibawa melawat beberapa lokasi di geotapak Langkawi UNESCO Global Geopark yang menawarkan kepelbagaian warisan geologinya yang unik dalam sejarah geologi pembentukan Malaysia 550 juta tahun dahulu.

Lawatan ini bertujuan memberikan pemahaman mendalam kepada peserta tentang cara pendekatan inovatif amalan geosains dapat diaplikasikan untuk membangunkan sumber bumi secara lestari bagi meningkatkan ekonomi serta kesejahteraan komuniti setempat selaras dengan prinsip pembangunan mampan tanpa menjejaskan alam semula jadi.

Persidangan tahunan CCOP ini dianjurkan bersama antara Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) serta disokong oleh Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Universiti Kebangsaan Malaysia dan 12 syarikat, institusi dan agensi berkaitan dengan mineral dan geosains, dalam dan luar negara.

Inisiatif ini mencerminkan usaha kolektif untuk memperkukuh sinergi antara negara, kerajaan, sektor swasta, ahli akademik dan komuniti geosains dalam memacu inovasi, merangsang pertumbuhan ekonomi dan memastikan kesejahteraan serantau.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.