Banduan penjara guna cara sendiri raikan petugas barisan hadapan

Video berkenaan tular di media sosial

KUALA LUMPUR-Jasa dan pengorbanan petugas kesihatan barisan hadapan ketika bertugas di Penjara Alor Setar, Kedah dihargai para banduan dengan cara tersendiri.

Momen berharga yang dirakam itu dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebooknya malam ini.

Rakaman itu dimuat naik melalui aplikasi Tik Tok itu tular di pelbagai saluran media sosial.

Video itu menunjukkan petugas barisan hadapan yang melangkah keluar dari pintu pagar penjara dirai dengan nanyian “Doa Wira Negara” oleh para banduan.

Ia lagu asal ciptaan dan dendangan Harry Khalifah.

Nanyian tersebut sebagai tanda berterima kasih mereka kepada semua petugas yang bertungkus lumus berkhidmat mencegah penularan wabak COVID-19.

“Penghargaan kepada petugas kesihatan barisan hadapan yang selesai menjalankan amanah menyaring dan menguji Kluster Tembok di Penjara Alor Setar.

“Setelah selesai menjalankan tugas mereka keluar diiringi nyanyian daripada banduan-banduan menghargai keringat dan titik peluh setiap petugas . “Frontliners You Are The Real Heroes,”kata Dr. Noor Hisham.

Sebelum ini Penjara Alor Setar yang mempunyai 1,800 penghuni dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 10 Oktober dan tamat pada 2 November lalu.

PKPD ditamatkan selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati tiada lagi banduan atau kakitangan Penjara Alor Setar positif COVID-19.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.