SMK Sungai Layar Johan Bola Jaring Bawah 18 dan 15 tahun

Dato' Mustaffa Idrus ( tengah) bersama skuad bola jaring SMK Sungai Layar dan barisan kejurulatihan

SUNGAI PETANI – Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Layar mencipta sejarah manis apabila muncul juara Kejohanan Bola Jaring Daerah Kuala Muda bagi kategori bawah 15 tahun dan bawah 18 tahun yang berlangsung di Pusat Sukan Arena Amanjaya, semalam.

Kejayaan membanggakan itu dicapai selepas pasukan SMK Sungai Layar berjaya menewaskan saingan daripada 29 buah sekolah lain dalam daerah Kuala Muda, sekali gus membuktikan kecemerlangan sekolah dalam arena sukan bola jaring.

Menurut Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Sungai Layar, Dato’ Dr Mustaffa Idrus, pencapaian tersebut merupakan hasil usaha gigih para pelajar, guru serta pihak pengurusan sekolah yang sentiasa memberikan sokongan penuh kepada pasukan.

Beliau berkata, kejayaan menjuarai kedua-dua kategori itu bukanlah sesuatu yang mudah memandangkan sebanyak 38 pasukan telah mengambil bahagian dalam kejohanan berkenaan.

“Saya amat berbangga dengan pencapaian yang ditunjukkan oleh para pelajar SMK Sungai Layar.
Semangat kesukanan, disiplin dan kesungguhan mereka sepanjang kejohanan wajar diberikan penghargaan,” katanya.

Cikgu Amydah dari kanan berjaya mengasah bakat anak-anak SMK Sungai Layar sehingga muncul juara

Beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada jurulatih pasukan, Cikgu Amydah Md Yasin, yang telah bertungkus-lumus melatih dan membimbing para pemain sehingga berjaya mencapai kejayaan yang membanggakan sekolah.

Menurutnya lagi, latihan yang sistematik, komitmen tinggi serta kerjasama erat antara pemain dan jurulatih menjadi faktor utama kejayaan pasukan SMK Sungai Layar pada tahun ini.

Dato’ Dr Mustaffa berkata, beliau bersama Pengetua SMK Sungai Layar, Cikgu Samsudin Saleh, berada di Arena Amanjaya sejak awal pagi bagi memberikan sokongan dan semangat kepada para pemain yang beraksi.

“Alhamdulillah, usaha dan pengorbanan semua pihak membuahkan hasil apabila kedua-dua pasukan bawah 15 tahun dan bawah 18 tahun berjaya muncul juara,” tambahnya.

Dato’ Dr Mustaffa bersama barisan pemain bola jaring SMK Sungai Layar

Beliau menyifatkan kemenangan tersebut sebagai satu pencapaian besar yang mampu menjadi inspirasi kepada seluruh warga sekolah untuk terus mengejar kecemerlangan dalam pelbagai bidang.

Dalam masa yang sama, beliau berharap kejayaan itu dapat menjadi pemangkin kepada para pelajar untuk terus mengimbangi pencapaian akademik dan kokurikulum.

Katanya, pihak PIBG akan terus memberikan sokongan kepada segala usaha yang dijalankan oleh sekolah demi melahirkan pelajar yang cemerlang, berdaya saing dan berakhlak mulia.

“Syukur ke hadrat Allah SWT atas kejayaan ini. Tahniah kepada semua pemain, jurulatih, guru-guru, ibu bapa dan pihak sekolah yang telah memainkan peranan masing-masing sehingga SMK Sungai Layar berjaya menjuarai kejohanan bola jaring Daerah Kuala Muda bagi kategori bawah 15 tahun dan bawah 18 tahun,” katanya.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.