Penerbangan ehsan ATM- TUDM selamatkan tiga bayi

Bayi-bayi berkenaan disambut pasukan petugas dan dihantar ke IJN

KUALA LUMPUR – Penerbangan ehsan pesawat A400M menghantar tiga bayi dari Kota Kinabalu ke Pengkalan Udara Subang Kuala Lumpur bagi menjalani pembedahan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.

Pesawat tersebut berlepas dari Kota Kinabalu pada jam 1.09 petang dan tiba di Pangkalan Udara Subang pada jam 6.10 petang.

Bayi-bayi berkenaan disambut pasukan petugas yang telah sedia menunggu ketibaan mereka dan terus dihantar ke IJN.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM, Markas Tentera Udara berkata, penerbangan ehsan itu dilaksanakan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

“Ketiga-tiga bayi berkenaan iaitu Alvanneo Franruvis berusia 17 hari mengalami masalah saluran darah pada jantung, Oddey Chin Kian Sin berusia 18 hari dan bayi Mohamad Afif Hakim bin Afifi Wahyudi berusia 21 hari mengalami masalah jantung berlubang.

“Ketiga-tiga bayi tersebut sebelum ini telah menerima rawatan dari Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah namun mereka memerlukan rawatan dan menjalani pembedahan segera di IJN,” kata kenyataan.

Menurutnya, ia diterbangkan oleh Mejar In’Amul Hasan Shuhaimy Basha TUDM dan Mejar Khairul Ikhmal Ishak TUDM selaku juruterbang.

“Manakala Kapten Mohd Amir Shahrin TUDM dan Kapten Mohd Mazhan Puteh @ Abdullah TUDM sebagai pembantu juruterbang.

“Penerbangan ini juga membawa seorang pegawai perubatan, Dr Tan Wei Wern; seorang paramedik, Dr Dominica Hiew Hui Wen dan ibu kepada bayi masing-masing,” katanya.

Kenyataan berkata, ATM menerusi TUDM sentiasa komited di dalam melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan di dalam menjaga kedaulatan negara tercinta dan di dalam masa yang sama turut menunaikan tanggungjawab kemanusiaan khusus kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.