110 bubu naga nilai 13,200 dirampas

Bubu naga ini dikesan ketika Maritim sedang membuat rondaan

LUMUT– Sebanyak 110 set bubu naga bernilai RM13,200 dirampas di dua lokasi berasingan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Perak semalam.

Pengarah Maritim Negeri Perak, Kepten Shahrizam Raman berkata, bubu naga berkenaan dirampas di kedudukan 3.2 dan 3.3 batu nautika barat laut Muara Sungai Perak.

Menurutnya, penanda bubu naga itu dikesan ketika bot penguatkuasaan sedang melakukan rutin rondaan harian.

“Penggunaan alat peranti memerangkap ikan secara salah menggunakan bubu naga ini dilihat berlaku secara berleluasa walaupun tindakan tegas dan larangan penggunaannya telah dikeluarkan.

“Pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan dengan menggunakan kaedah yang tidak dibenarkan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penangkapan ikan atau hasil laut menggunakan bubu naga mengancam habitat marin.

Menurutnya, pemilik bubu naga boleh didakwa di bawah Seksyen 11 (3) (c) Akta Perikanan 1985 .

Rentas7.com/Foto: APMM

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.