SEMPORNA-Timbalan Pengerusi Parti Warisan Negeri Kedah, Dato’ Dr Mustafa Idrus, menyatakan keyakinan penuh terhadap kemampuan kepimpinan Presiden Warisan, Dato’ Sri Shafie Apdal, dalam menghadapi persaingan politik di Sabah.
Beliau berkata keyakinan itu hadir selepas beliau sendiri turun ke lapangan, berjumpa masyarakat dan mengikuti rapat perkembangan kempen serta mood pengundi di kawasan terlibat.
Menurut Dato’ Dr Mustafa, sambutan rakyat terhadap Warisan semakin meningkat dari hari ke hari, khususnya di kawasan majoriti luar bandar yang sebelum ini menjadi kubu kuat parti tersebut.
“Setelah bersama masyarakat di bawah dan menilai sendiri suasana kempen, saya yakin Dato’ Sri Shafie Apdal akan meraih undi terbanyak serta memenangi ketiga-tiga DUN yang ditandingi,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau turut menambah bahawa Pelan Gerak Kerja Warisan kali ini lebih kemas dan tersusun, dengan tumpuan kepada isu rakyat seperti kos sara hidup, peluang ekonomi serta kedudukan Sabah dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Selain itu, Dato’ Dr. Mustafa menjelaskan bahawa daripada 73 kerusi yang dipertandingkan, Parti Warisan optimis mampu memperoleh sekurang-kurangnya 50 kerusi, satu angka yang beliau sifatkan realistik berdasarkan trend sokongan terkini.
“Melihat perkembangan semasa, keyakinan kami bukan sekadar anggaran kosong. Ia berdasarkan maklumat akar umbi serta gelombang rakyat yang mahukan perubahan,” katanya.
Beliau berkata kemenangan besar itu akan memberi ruang kepada Warisan untuk membentuk kembali kerajaan negeri Sabah, seterusnya melaksanakan agenda pembangunan yang lebih menyeluruh tanpa tekanan politik luar.
Dato’ Dr Mustafa juga menekankan bahawa kepimpinan Dato’ Sri Shafie Apdal masih mendapat kepercayaan majoriti rakyat Sabah, khususnya dalam membawa identiti perjuangan Sabah untuk Sabah.
Beliau menyeru semua penyokong agar terus bekerja keras hingga ke saat akhir dan memastikan mesej perjuangan Warisan sampai ke setiap lapisan rakyat.
RENTAS7








Leave a Reply