Laporan: Manaff Kersek
PATANI -Serangan terbuka yang mengorbankan lima anggota Renjer Thailand di Tanjung Mas, Narathiwat disifatkan bertentangan dengan corak serta taktikal operasi yang lazim digunakan oleh kumpulan pejuang Patani, termasuk dua organisasi berpengaruh iaitu PULO dan BRN.
Presiden PULO, Wabatopatan Ismail (K.M.), berkata sehingga kini tiada bukti kukuh yang boleh mengaitkan insiden berdarah itu dengan pejuang-pejuang Patani.
Beliau menegaskan kerajaan Thailand perlu menjalankan siasatan secara adil, telus dan menyeluruh serta membawa pihak yang benar-benar bertanggungjawab ke muka pengadilan bagi meredakan keresahan masyarakat.
“Pelbagai persepsi sedang berlegar dalam kalangan masyarakat. Ada pihak yang mengaitkan serangan ini dengan kumpulan pejuang, manakala ada juga yang mendakwa ia mempunyai kaitan dengan pihak kerajaan atau pihak lain.
“Daripada segi corak serangan, kita melihat ia bukan kebiasaan yang dilakukan oleh pejuang Patani dalam operasi ketenteraan mereka di tiga wilayah,” katanya.
Beliau menegaskan PULO tidak mahu setiap insiden keganasan di Patani terus dikaitkan dengan gerakan pejuang Patani tanpa asas yang kukuh.
“PULO juga ingin menegaskan bahawa kita tidak mahu setiap kejadian keganasan di Patani secara automatik dikaitkan dengan gerakan perjuangan Patani. Jika ada bukti bahawa serangan ini dilakukan oleh pihak lain, maka perkara itu perlu didedahkan berdasarkan hasil siasatan.
“Pada saya, yang paling penting sekarang ialah jangan membuat tuduhan secara terburu-buru kerana ia boleh menimbulkan salah faham dan ketegangan yang lebih besar,” katanya.
Mengulas mengenai tatu pada tangan individu yang didakwa sebagai penyerang, beliau berkata pihak berkuasa Thailand lebih berautoriti untuk menentukan sama ada imej yang tular itu adalah tulen atau hasil janaan kecerdasan buatan (AI).
“Ramai yang memberikan pelbagai pandangan mengenai isu ini. Ada yang mengatakan tatu itu ialah imej janaan AI, manakala ada yang mendakwa ia asli. Sebab itu kerajaan perlu segera menyelesaikan siasatan ini dan mendedahkan siapa dalang sebenar di sebalik serangan tersebut,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pihak berkuasa Thailand wajib menjalankan siasatan secara profesional supaya kebenaran dapat ditegakkan dan keyakinan rakyat terhadap proses keadilan terus terpelihara.
Mengulas dakwaan bahawa serangan itu mungkin didalangi pihak kartel dadah yang mengambil kesempatan terhadap konflik di wilayah bergolak itu, beliau berkata sebarang kesimpulan tidak wajar dibuat tanpa bukti.
“Pada pandangan saya, kita tidak boleh membuat kesimpulan terlalu awal mengenai siapa yang bertanggungjawab terhadap serangan tersebut. Kita perlu menyerahkan perkara ini kepada pihak yang berwajib untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh dan mendapatkan bukti yang sah.
“Memang tidak dapat dinafikan bahawa dalam suasana konflik yang berpanjangan, mungkin ada pihak-pihak tertentu yang cuba mengambil kesempatan daripada keadaan yang berlaku. Kita tidak boleh menolak kemungkinan tersebut. Tetapi pada masa yang sama, kita juga tidak boleh terus menuduh mana-mana pihak, termasuk kartel dadah atau pihak ketiga yang lain, tanpa bukti yang jelas,” katanya.
Menurut beliau, perkara paling penting ketika ini ialah mengenal pasti siapa pelaku sebenar dan motif di sebalik serangan tersebut.
Beliau berkata konflik Patani mempunyai sejarah dan latar belakang politik yang panjang. Justeru, setiap kejadian perlu dianalisis secara teliti berasaskan fakta serta hasil siasatan, bukannya andaian atau spekulasi.
“PULO menyeru agar siasatan dijalankan secara profesional dan telus. Jika ada pihak yang benar-benar bertanggungjawab, maka mereka perlu dikenal pasti berdasarkan bukti dan dipertanggungjawabkan melalui proses undang-undang,” katanya.








Leave a Reply