Tarik semula lesen arak Timah, hukum dalang segera

Datuk Mustaffa Idrus

ALOR SETAR-Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) mendesak lesen arak bagi keluaran jenama Timah ditarik semula.

Pengerusi Perhubungan PUTRA Kedah Datuk Mustaffa Idrus berkata, jenama berkenaan perlu dihalang pengunaannya kerana ia jelas menyindir umat Islam negara ini.

“Penggunaan jenama Timah yang merupakan nama wanita Islam selain imej lelaki berkopiah sudah pasti dibuat dengan agenda menghina dan memburukkan Islam.

“Perkara ini bagi saya dibuat cukup terancang. Saya yakin mereka yang melakukan perkara terkutuk ini adalah dari puak musuh Islam. PUTRA menuntut mereka ditangkap dan dikenakan hukuman berat,” katanya hari ini.

Beliau berkata, pemilihan jenama Timah bukan lagi cubaan menyentuh sensitiviti umat Islam, sebaliknya ia sememangnya menyentuh sensitiviti agama dan umat Islam.

“Sampai bila kita mahu bersabar dengan isu sebegini? Sebelum ini pun sudah banyak penghinaan kepada Islam dibuat pihak lain di negara kita.

“PUTRA menuntut supaya pihak anti Islam ini ditangkap dan dihukum segera.

“Pelancaran arak menggunakan nama Timah berlogo lelaki memakai kopiah mencabar kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara seperti termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

“Mereka perlu diberikan pengajaran supaya isu seperti ini tidak lagi berlaku. Imej Malaysia sebagai negara Islam perlu diterjemahkan melalui tindakan kita yang tidak sesekali berkompromi dengan isu yang menghina Islam,” katanya.

Isu arak jenama Timah menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini setelah sebuah syarikat melancarkan arak jenama Timah untuk pasaran Malaysia pada 7 Oktober lalu.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.