Tak sempat baca Al-Fatihah Dalam Solat Tarawih? Ini Jawapan Imam Fathoni

Pernah tak kita baru hendak membaca Surah Al-Fatihah ketika solat Tarawih, tetapi imam sudah pun rukuk?

Keadaan ini biasanya berlaku apabila imam membaca surah dengan agak cepat. Ia sering berkait dengan dua keadaan.

Pertama, imam tidak mahu menyusahkan makmum dengan bacaan yang terlalu panjang.

Kedua, bagi memastikan solat Tarawih sama ada 8 atau 20 rakaat dapat dihabiskan dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Mengulas perkara ini, seorang imam dari Fathoni Darussalam, Ustaz Mohd Roslan, memberikan penjelasan.

Menurut beliau, solat Tarawih termasuk dalam kategori solat sunat.

Justeru, makmum tidak perlu menunggu imam selesai membaca Surah Al-Fatihah untuk memulakan bacaan mereka.

“Bagi yang membaca Surah Al-Fatihah dengan perlahan sehingga tidak sempat mengikut bacaan imam, makmum boleh terus membaca Surah Al-Fatihah sebaik sahaja imam selesai mengangkat takbiratul ihram, walaupun ketika imam sedang membaca Al-Fatihah,” katanya.

Tambah beliau, perkara itu tidak menjadi masalah dalam Mazhab Syafie kerana solat Tarawih merupakan solat sunat.

“Ia bukan solat wajib yang memerlukan makmum menunggu imam selesai membaca Surah Al-Fatihah terlebih dahulu,” jelasnya dalam satu tazkirah di sebuah masjid di Fathoni Darussalam.

Justeru, bagi mereka yang sering berasa terkejar-kejar untuk menghabiskan bacaan, maklumat ini boleh membantu kita menunaikan solat sunat Tarawih dengan lebih tenang dan yakin.

Selamat menempuh 10 malam terakhir Ramadan.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.