KUALA LUMPUR- Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Universiti Malaya (UM) menganjurkan program Bicara Tokoh Seni Budaya Siri II bertajuk “Transformasi Seni Digital” bertempat di Panggung Eksperimen, Universiti Malaya, Kuala Lumpur, semalam.
Program ini merupakan sebuah program bicarawara mengenai kejayaan, pengalaman,perkongsian ilmu dan kepakaran ikon/ pemain industri dalam bidang seni persembahan.
Selain itu, program ini turut memberi pendedahan kepada peserta yang hadir khususnya pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) mengenai langkah dan peluang laluan kerjaya dalam bidang seni persembahan. Pemilihan tokoh dalam program ini mengambil kira penglibatan, pengalaman, dan sumbangan tokoh dalam bidang yang berkaitan topik perbincangan iaitu seni dan budaya ke arah dunia digital.
Dalam menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan rakyat berbudaya, program seperti ini diharap memberi impak positif dalam meningkatkan visibiliti, kebolehcapaian dan penerokaan pasaran baru dalam industri seni, budaya dan warisan.
Menariknya, program kali ini JKKN akan menampilkan barisan panel jemputan artis popular dan terkenal seperti Dato’ Sri Siti Nurhaliza Tarudin (Ikon industri seni, penyanyi dan usahawan), Ts. Mohamad Yusman Ammeran (Naib Presiden TM Unifi Business) dan Dr. Mohd Effindi Samsuddin (Pensyarah Jabatan Sosial Budaya/ Kesenian Melayu, Universiti Malaya) manakala moderator ialah Saudari Margaret Gambang (Pengacara/Personaliti TV).
Pilihan ahli panel ini adalah melibatkan kepakaran dalam bidang masingmasing untuk membicarakan berkaitan tajuk program pada kali ini.
“Selaku agensi peneraju seni dan budaya negara, JKKN akan sentiasa merangka program yang relevan, difahami dan disantuni oleh semua bangsa di Malaysia.
Berdasarkan rangka Pelan Strategik jabatan 2021-2025, saya percaya Bicara Tokoh Seni Budaya akan menjadi platform jabatan agar terus relevan dalam memainkan peranan sebagai tunjang kepada pemuliharaan dan pemeliharaan budaya serta seni di Malaysia,” ujar Encik Mohd Amran bin Mohd Haris, Ketua Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dalam kenyataannya hari ini selepas program Bicara Tokoh Seni Budaya 2024.
RENTAS7








Leave a Reply