“Silakan letak SIRIM, tapi jangan denda rakyat”

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI -Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah menyambut baik cadangan penguakuasaan pelitup muka perlu mempunyai kelulusan Institusi Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) tetapi dengan bersyarat.

Pengerusinya, Datuk Mustaffa Idrus berkata, PAMM hanya menyokong dalam sudut menjaga kualiti dan kebersihan pelitup muka dan tidak selain daripada itu.

“Jika kerajaan nak wajibkan setiap pelitup muka mempunyai kelulusan SIRIM, bagi kami di PAMM ia wajar dan sepatutnya dilaksanakan sudah lama.

“Bukan buta tuli terima produk luar yang tidak dapat dipastikan kualiti dan kebersihannya seperti dari China dan sebagainya,”katanya kepada media hari ini.

Tetapi Mustaffa berkata, cadangan untuk memenjara dan mendenda rakyat kerana tidak memakai pelitup muka sangat melampau dan perlu dihalang.

“Jika perlu kelulusan SIRIM silakan, tetapi jangan wajibkan pula sehingga nak denda rakyat tidak melebihi RM100,000.

“Langkah ini bukan membantu menjaga nyawa rakyat, tetapi menindas rakyat secara terang-terangan,”katanya.

Justeru beliau menuntut semua wakil wakyat khususnya di Parlimen membantah pelaksanaan tersebut demi kebaikan rakyat Malaysia.

“Kehidupan rakyat masih dalam kemelut kemiskinan, ditambah dengan pandemik menyebabkan derita mereka bertambah.

“Sebagai kerajaan, jika kamu betul-betul nak menjaga nyawa rakyat silakan batalkan cadangan untuk denda rakyat.

“Janganlah jadi pemimpin yang menzalimi rakyat, semua itu akan ditanya di akhirat kelak,”katanya.

Media sebelum ini Pewartaan Perintah Perihal Dagangan (Perlakuan dan Penandaaan) Pelitup Muka Bukan Perubatan yang dikuatkuasa 4 Julai tahun ini ditangguh kepada Januari 2023.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna ( KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta dilaporkan berkata, penangguhan itu dibuat selepas menerima maklum balas umum.

Untuk kesalahan syarikat yang gagal mematuhi peraturan berdepan denda RM200,000 jika gagal mematuhi peraturan berkenaan dan boleh dikenakan RM500,000 untuk kali kedua kesalahan.

Untuk individu pula berdepan denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara atau kedua-duanya sekali dan bagi kesalahan kedua boleh dikenakan hukuman RM250,00 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.