‘Rumah Bangsat’, gabungan rapuh dicengkam DAP

 

Oleh : WAN Kelana

KUALA LUMPUR -Setelah melalui banyak fasa tegang dalam UMNO, Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr. Mohamad Akmal Saleh masih setia bersama partinya.

Meskipun beliau dilihat sebagai pemimpin muda daripada UMNO yang akan melakukan perubahan oleh sebilangan penyokong UMNO atau segelintir pemerhati, hakikatnya masih ramai yang beranggapan beliau hanya ‘wayang’.

Atau dalam erti kata lain, andai dunia terbalik sekalipun, beliau tetap akan berjuang bersama UMNO, berpihak kepada UMNO dan setia tidak berbelah bahagi kepada parti itu, sekalipun beliau sendiri memperjuangkan gabungan Melayu tanpa DAP.

Hari ini, sama ada sekadar perasaan curiga atau sememangnya sudah boleh dibaca, sikap sebenar beliau sudah dapat ditelah. Beliau sememangnya warisan UMNO totok yang tidak akan sama sekali dapat menerima perubahan.

Beliau sendiri penyokong kuat Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Presiden UMNO Malaysia.

Lagipun beliau secara terang-terangan, sudah mengakui jalinan istimewa antara dirinya dan Zahid Hamidi yang diibaratkan seperti anak dan ayah.

Maka bertepatan dengan andaian sebilangan besar bahawa beliau hanyalah ‘wayang’, tidak boleh diragui lagi. Dalam erti kata lain, usahlah mengharapkan pemimpin muda ini untuk memperbetulkan keadaan UMNO yang kini setia bersama DAP, kerana beliau sendiri dilihat tidak jelas hala tuju sebenarnya.

Terbaharu, Akmal secara terbuka menyindir Presiden PAS, Tan Sri Haji Abdul Hadi Haji Awang yang mendedahkan wajah sebenar ‘Rumah Bangsa’.

Rumah Bangsa yang lebih tepat dinamakan ‘Rumah Bangsat’ ditolak oleh PAS, bukan kerana parti itu tidak mahu bersatu dengan parti-parti Melayu.

Sebaliknya, Rumah Bangsat itu seperti mana UMNO menjadi khadam kepada DAP masih berwala’ kepada DAP sehingga terpaksa meninggalkan prinsip perjuangannya semata-mata mahu menjadi kerajaan.

Itulah antara alasan utama yang dikemukakan Presiden PAS itu dalam tinta Minda Presiden di Facebook rasminya.

Akmal kemudian membalas dengan satu hantaran yang kononnya meluahkan perasaan atau dilihat sebagai pejuang sebenar penyatuan.

Namun di mata rakyat yang sudah mengenali betapa dahsyatnya pentadbiran DAP, luahan beliau yang mengatakan mereka meneruskan agenda penyatuan kerana Allah dan bukan kerana pemimpin dilihat sebagai satu lagi lakonan dan hipokrit.

Bukankah kenyataan Akmal itu sendiri menunjukkan betapa lemahnya pendiriannya? Berapi-api menolak DAP, tetapi akhirnya mempertahankan Rumah Bangsat yang perlu tunduk kepada DAP itu sendiri.

Rakyat tidak mudah lupa kerana Zahid Hamidi dahulunya merupakan penentang kuat DAP.

“No Anwar dan No DAP,” janji Zahid dalam ucapan dasar Presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 yang diadakan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur pada 28 Mac 2021 masih lagi segar dalam ingatan rakyat.

Sekali lagi, putaran kepada kata-kata itu seperti diulang oleh Akmal, dan jelaslah beliau seperti yang diperkatakan ramai.

Dalam menuju PRU-16 yang boleh berlaku pada bila-bila masa, negara ini perlu diselamatkan segera daripada tangan DAP yang mencengkam.

Kejahilan DAP yang memperjuangkan dasar liberal semestinya merosakkan akidah dan jati diri umat Islam.

Dasar mereka antaranya memperjuangkan kesamarataan kaum dan kebebasan agama, yang  boleh meletakkan negara yang berasal daripada Tanah Melayu ini sebagai sebuah negara yang mencabut kedaulatannya sendiri.

Daripada pelbagai isu menghina Islam yang pernah timbul di negara ini di bawah Kerajaan Madani — antaranya isu kalimah Allah pada stokin, memijak al-Quran, hidangan alkohol dalam majlis rasmi kerajaan, pemasangan bendera Malaysia secara terbalik serta ketiadaan gambar masjid dalam montaj rasmi Tahun Melawat Malaysia 2026 sedangkan rumah ibadah agama lain dipaparkan.

Selain itu, pelbagai isu lain terus berlarutan termasuk yang terbaru isu kuil haram yang kelihatannya memberi ruang kepada pihak yang memperjuangkannya untuk bersuara dan berhimpun, manakala umat Islam yang melakukan perkara sama segera ditangkap dan dihumban ke dalam penjara seperti mana amaran pernah diberikan PMX.

Setelah satu demi satu kecelakaan timbul dan perpaduan rakyat kini dilihat semakin rapuh, ada yang mentafsir keadaan ini sebagai cubaan puak-puak tali barut untuk mencipta darurat demi menguntungkan perut dan bawah perut mereka.

Sebarang pakatan tali barut untuk mengucar-ngacirkan negara dengan darurat secara tidak langsung ibarat melakukan jenayah dan perang terhadap YDPA.

Bahkan Malaysia mempunyai sultan- sultan yang berdaulat.

Justeru, jika ada cubaan ke arah itu, pihak yang menciptanya pasti akan gagal atau dihumban oleh rakyat ke dalam lubuk dan gaung, kerana umat Melayu Islam sebagai bangsa berdaulat rela mempertahankan negara sehingga ke titisan akhir darah dan nyawa seperti mana dilakukan oleh datuk nenek moyang mereka dalam mempertahan kedaulatan tanah air dan kesucian agama dan sultan sebagai payung mereka bernaung.

Sampai masanya, semua pihak wajib berhati-hati dan tidak memasuki perangkap yang boleh merugikan semua.

Saat ini, gabungan tulen yang menjadikan Islam sebagai acuan sebenar dalam pentadbiran negara bukan lagi pilihan, bahkan suatu keperluan yang wajib dan tidak boleh dipertikaikan demi memelihara kedaulatan agama, bangsa dan negara. UMNO wajib dengan segera meninggal DAP, malangnya selagi boneka- boneka DAP berada di dalam UMNO, perkara itu mustahil untuk berlaku.

Terang lagi bersuluh, Rumah Bangsat wajib ditolak oleh semua lapisan rakyat tanpa mengira agama, kaum dan ideologi politik.
Apa sahaja nama perpaduan yang mengekalkan DAP sebagai tunjangnya pasti tidak akan kekal dan berjaya, apatah lagi tanpa pembangkang yang hari ini menjadi kepercayaan mutlak umat Islam di Malaysia.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.