Rohingya Mula Ambil Tempat Rakyat Malaysia, Kerajaan Benarkan Bekerja

Dato' Dr Mustaffa Idrus

ALOR SETAR-Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Kedah menyifatkan keputusan kerajaan melaksanakan Program Pekerjaan DPP yang membolehkan individu berstatus pelarian diambil bekerja sebagai langkah yang salah dan boleh memberi kesan besar kepada kedaulatan negara.

Pengerusinya, Dato’ Dr Mustaffa Idrus, berkata kerajaan sepatutnya memberi tumpuan kepada dasar penghantaran pulang pendatang yang tidak mempunyai hak untuk menetap di Malaysia, bukannya membuka peluang pekerjaan yang berpotensi menjadi faktor tarikan kepada kemasukan pelarian baharu.

Menurut beliau, tindakan itu boleh memberi persepsi bahawa Malaysia semakin longgar dalam dasar imigresennya, sekali gus menggalakkan lebih ramai pelarian memilih negara ini sebagai destinasi.

“Apabila kerajaan mula memberi ruang pekerjaan kepada pelarian, mesej yang dihantar kepada dunia ialah Malaysia bersedia menerima mereka.

“Ini bukan dasar yang wajar jika kepentingan rakyat dan keselamatan negara benar-benar menjadi keutamaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, menerusi jawapan bertulis di Sidang Parlimen pada 9 Julai, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail memaklumkan bahawa Program Pekerjaan DPP telah dilaksanakan melibatkan individu berstatus pelarian yang diluluskan, dengan 78 individu diberikan status pelarian dan 25 individu  dikenal pasti layak untuk diambil bekerja.

Beliau berkata PAMM Kedah turut membangkitkan kebimbangan terhadap implikasi keselamatan dan sosial sekiranya kemasukan pelarian tidak dikawal secara tegas serta penguatkuasaan terus diperlemah.

Katanya, kerajaan tidak boleh memandang ringan kes-kes jenayah yang pernah membabitkan sebahagian warga asing, sebaliknya perlu memperkukuh kawalan sempadan dan memastikan undang-undang dikuatkuasakan tanpa kompromi.

“PAMM Kedah berpandangan kerajaan dilihat terlalu lembut dalam isu ini. Apa yang rakyat mahukan ialah tindakan tegas, bukannya dasar yang boleh menggalakkan lebih ramai pendatang datang ke Malaysia,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa peluang pekerjaan perlu diutamakan kepada rakyat Malaysia, khususnya golongan belia dan mereka yang masih menganggur.

Sehubungan itu, PAMM Kedah menggesa kerajaan mengkaji semula pelaksanaan Program Pekerjaan DPP, memperketat kawalan sempadan, mempercepat proses penghantaran pulang mereka yang tidak layak berada di negara ini serta meletakkan kepentingan rakyat dan kedaulatan negara sebagai keutamaan.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.