PUTRA tuntut perincikan isu RM13 juta

Datuk Mustaffa Idrus

KUALA LUMPUR– Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) menuntut Menteri Besar Kedah mengemukakan bukti berdokumen susulan dakwaannya terhadap pemindahan wang milik Menteri Besar Incorporated (MBI) berjumlah RM13 juta ke satu akaun di Kanada.

Ketua Pengerusi Perhubungan PUTRA Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, Muhammad Sanusi Md Nor diminta menjelaskan dakwaan yang mengaitkan zaman bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir itu secara terperinci kepada semua pihak khususnya rakyat Kedah.

Menurutnya, Menteri Besar juga dinasihati melaporkan dakwaan berkenaan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memastikan segala salah laku dalam pentadbiran negeri dibersihkan.

“Dakwaan itu juga ada menyebut harga beg kuih raya ialah RM1.3 juta, lebih mahal daripada kuih raya.

“Oleh itu, bagi mengelakkan dakwaan ini fitnah, Muhammad Sanusi diharap dapat mengemukakan bukti dokumen hitam putih supaya rakyat dapat menilai perkara berkenaan,”katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata, SPRM dituntut segera menjalankan siasatan sekiranya aduan berkaitan isu tersebut telah dibuat.

“Isu ini bukan isu kecil. Wang sebesar itu boleh digunakan untuk kemajuan negeri dan manfaat rakyat.

“PUTRA menuntut SPRM segera melakukan siasatan termasuk mengambil tindakan terhadap semua yang terlibat.

“Jika benar salah laku ini berlaku, ia tidak dapat dibiarkan sekalipun pentadbiran kerajaan negeri telah bertukar. Mereka yang bersalah perlu dihukum,”katanya.

Mustaffa berkata, bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir turut dituntut memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa bagi menyelesaikan isu tersebut.

Terdahulu, Muhammad Sanusi dilaporkan mendakwa berlaku pemindahan RM13 juta di satu akaun di luar negara ketika zaman Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.