PKP longgar, rakyat jangan ambil mudah- Dr Dzulkefly

KUALA LUMPUR-Bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menasihati rakyat supaya jangan bersikap sambil lewa dalam aspek kebersihan walaupun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 4 Mei ini dilonggarkan.

“Jepun (Hokkaido), Kanada dan Singapura, contoh-contoh terkini menyaksikan ‘outbreak’ semula.

“Pelbagai penulisan dan dokumen daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan termasuk dari Oxford mengingatkan kita bagaimana untuk ‘unlock dan exit’ dari MCO/PKP,”katanya.

Katanya, negara ini juga melalui kes terkini jangkitan berpunca daripada kluster tempatan.

“Apa pun, Jangan selesa dan ambil mudah! Insiden-insiden kes baru dari punca komuniti sendiri (sporadic cases) masih dikesani pada jumlah ‘double digits’ (57 terkini). Selangor tidak terkecuali.

“Pun begitu..ingat! semua mesti amalkan jarak fizik dan kebersihan, basuh tangan, pakai topeng muka kalau batuk, selsema dan lain-lain,”katanya.

Menurutnya, tidak ada negara dapat menafikan, jauh lebih mudah untuk membuat keputusan menguatkuasakan satu bentuk ‘lockdown’ atau ‘separa Lockdown’ seperti di Malaysia iaitu PKP.

Tetapi katanya, apa yang menjadi pertikaian pelbagai pihak adalah ketika saat untuk mengemukakan satu pelan menamatkan PKP atau disebut sebagai strategi keluar.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, pengumuman asal PKP-4 akan tamat pada 12 Mei sangat dinantikan ramai.

“Mentelahan benar-benar dapat mengimbangi antara kepentingan menjaga ‘nyawa’ (Lives) dan ‘kehidupan’ (Livelihood). Tidak ada siapa yang mahu dikurung lebih dari yang diperlukan, sementara Kementerian Kesihatan Malaysia KKM (Puratjaya) dan “Frontliners” gigih melandaikan keluk epidemik.

“Beban ekonomi, kehilangan pekerjaan, kerugian syarikat dan impak sosial termasuk ‘keganasan rumahtangga’ serta kemurungan-tekanan jiwa, bukan kepalang, dilaporkan di seluruh dunia. Malaysia tidak terkecuali,”katanya.

Bagaimanapun, beliau turut menyuarakan perasaan bimbang terhadap langkah kelonggaran tersebut.

“Namun apabila Perdana Menteri mengumumkan 4 Mei, semua boleh dimulakan beroperasi semula dengan kelonggaran PKP, dengan diberikan syarat SOP mesti dipatuhi, kecuali yang melibatkan perhimpunan ramai termasuk sekolah, kolej dan universiti.

“Langkah ini ditanggapi sebagai agak gopoh, bukan bersifat ‘soft-landing’ kerana ‘Exit Strategy’ belum sempat dihayati dan difahami. Diakui, sangat komprehensif pelan dan langkah-langkah yang disediakan. Ya..itu atas kertas,”katanya.

Tambahnya, pembudayaan amalan norma baru perlu diberi masa untuk dikempen dan didoktrinkan betul-betul.

“Masa sebelum 12 Mei di harapkan akan dimanfaatkan sebaiknya. Malangnya tiba-tiba 4 Mei ini, semacam sudah ‘back to business as usual’. Ini yang ramai ralatkan,”katanya.

Justeru kata Ahli Parlimen Kuala Selangor itu, individu dan pemilik-pemilik syarikat mesti membudayakan norma baru segera serta secara berkesan dan konsisten.

“Seperkara lagi, kerajaan-kerajaan negeri dengan kerjasama jabatan kesihatan negeri dan pejabat kesihatan daerah mesti mewujudkan Rapid Response Team ( RRT) yang mampu melaksanakan ‘saringan komuniti bersasar’, isolasi, dan rawat!,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.