COVID-19, semua pihak termasuk ahli politik jangan keras kepala

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI– Ahli Parlimen kerajaan mahupun pembangkang perlu mengelakkan sebarang Pilihan Raya Umum (PRU-15) mahupun “rampasan” kuasa dalam masa terdekat.

Pengerusi Persatuan Angkatan Melayu Negeri Kedah (PAMM), Datuk Mustaffa Idrus berkata, peningkatan mendadak kes positif COVID-19 di Semenanjung  selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) di Sabah perlu dijadikan iktibar.

“Kita tidak boleh menghalalkan sesuatu sekiranya ia boleh dielak. PRU atau PRN boleh dielak sekiranya Ahli Parlimen kerajaan mahupun pembangkang lebih mengutamakan rakyat.

“Melainkan sekiranya ada Pilihan Raya Kecil (PRK) disebabkan kes kematian Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) itu soal lain,”katanya hari ini.

Beliau berkata, peningkatan kes COVID-19 ketika ini amat dikesali.

Walaupun kesalahan bukanlah berpunca ahli politik sepenuhnya, namun beliau berkata, “saham” mereka tetap ada.

“Disebabkan segelintir orang politik, pelajar-pelajar sekolah terpaksa jalani “swab test”.

“Siapapun kamu, apa pun pangkat kamu jangan ingat kamu boleh lakukan apa saja. Ahli politik perlu memberikan contoh yang elok kepada masyarakat, bukan sebaliknya,”katanya.

Mustaffa berkata, penularan wabak COVID-19 di Semenanjung boleh dielakkan sekiranya semua pihak mengambil sikap tanggungjawab.

“Kita jangan hanya bergantung kepada peranan kerajaan dalam isu membendung penularan wabak COVID-19, tapi sebagai individu perlu ada sikap bertanggungjawab ke atas diri sendiri dan orang ramai.

“Walaupun pada asalnya tiada arahan kuarantin pulang dari Sabah, kita sebagai rakyat yang prihatin patut mengambil sikap sukarela menjalani ujian saringan dan kuarantin.

“Usahlah tanya apa yang negara dapat beri kepada kamu, tapi tanya diri sendiri apa yang kita telah lakukan untuk negara?,”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.