KUALA LUMPUR-Pertubuhan Angkatan Masyarakat Melayu Negeri Kedah (PAMM) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kejayaan usaha diplomasi Malaysia dalam memudahkan rundingan aman antara Kemboja dan Thailand baru-baru ini.
Menurut Pengerusinya, Datuk Mustaffa Idrus, kejayaan ini merupakan satu pencapaian besar dalam sejarah diplomasi serantau dan membuktikan kewibawaan Malaysia sebagai pemain utama dalam usaha perdamaian di peringkat ASEAN.
Menurutnya, pengaruh dan kebijaksanaan PMX dalam memainkan peranan sebagai pemudah cara telah membuahkan hasil yang sangat positif.
“Malaysia bukan sahaja dilihat berkecuali dan adil, malah terus dipercayai oleh kedua-dua negara yang bertikai.
“PAMM melihat langkah ini bukan sekadar kejayaan seorang pemimpin, tetapi juga manifestasi kekuatan dasar luar negara Malaysia yang mementingkan keamanan, kestabilan dan keharmonian serantau,”katanya.
Beliau berkata, kejayaan ini mengangkat martabat negara di mata dunia dan menonjolkan Malaysia sebagai negara yang bersuara untuk keamanan.
PAMM turut menyeru agar diplomasi seperti ini diteruskan dalam menyelesaikan isu-isu lain di rantau ini, termasuk yang berkaitan keselamatan sempadan, hak minoriti dan kebajikan masyarakat serumpun yang masih terkesan akibat konflik berpanjangan.
“Kejayaan ini bukan hanya milik Perdana Menteri, tetapi milik seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan dan keharmonian.
” Ia menunjukkan Malaysia masih menjadi suara waras dalam dunia yang bergolak,” katanya lagi.
Beliau berkata, Kemboja dan Thailand tidak perlu mengheret konflik tercetus dengan menggadaikan nyawa rakyat masing-masing sedangkan banyak jalan boleh diusahakan untuk memadam konflik.
“Peperangan ini tidak boleh diteruskan kerana Kemboja dan Thailand juga adalah ahli keluarga ASEAN.
“Jika kedua-duanya terus bersengketa, pastinya akan memberikan kesan kepada negara-negara anggota lain juga,”katanya.
RENTAS7








Leave a Reply