Makam lama ditemui di Kuala Ketil

Mohd Ridzuan kanan, Abdul Wahab Zakaria (tengah) dan Azzahari kiri mengunjungi makam berkenaan

KUALA KETIL– Sebuah makam lama bertanda dua batu nisan daripada batu gunung dikesan berada dalam kebun kelapa sawit di Kampung Kuala Tembak.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Padang Kulim, Abdul Wahab Zakaria, 63, berkata, makam lama dengan itu dipercayai berusia ratusan tahun.

Menurutnya, ia dikenali sebagai makam Tok Panjang, nama yang diambil daripada saiz kubur yang panjang.

“Sejak saya kecil kubur ini sudah berada di kebun ini. Waktu nak pi mungai (memancing) dengan ayah memang nampak la makam ni, tapi waktu tu hutan,” katanya kepada Rentas7.com hari ini.

Dakwanya, saiz kubur berkenaan lebih panjang berbanding yang dilihat ketika ini.

“Mungkin ada orang yang ubah kedudukan batu nisannya, jika ikut kedudukan asal pun ia cendong sedikit ke arah kiblat,” katanya.

Beliau berkata, tiada rekod nama atau tarikh pada dua batu nisan berkenaan.

Malah katanya, makam berkenaan juga selalu dibersihkan penduduk yang prihatin.

Menguatkan lagi ia berusia ratusan tahun, Zakaria berkata, kedudukan makam berkenaan terletak hampir dengan kawasan penemuan artifak oleh pihak berkaitan pada beberapa tahun lalu.

Seorang lagi penduduk, Azzahari Osman, 53, berkata, Sungai Ketil hanya terletak 200 meter dari makam berkenaan.

Menurutnya, sungai yang menghubungkan Baling, Kuala Ketil, Sik hingga ke Kuala Muda itu pernah mempunyai pelabuhan.

“Menurut kisah orang lama-lama, di kawasan sungai ini dahulunya pernah mempunyai pelabuhan dan menjadi tumpuan sebagai tempat perniagaan” katanya.

Terdahulu, Zakaria, Zahari, penduduk bersama peminat sejarah Kedah, Mohd Ridzuan Abdullah mengunjungi makam berkenaan.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.