Kilang terbakar di Pasir Gudang, JAS sah tiada pencemaran

PASIR GUDANG – Kebakaran kilang kitar semula di Pasir Gudang kelmarin tidak menyebabkan pencemaran alam sekitar di sekitar kawasan yang terlibat.

Dalam satu kenyataan media, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) berkata, siasatan oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri (JAS) Johor mendapati tiada kesan pencemaran pada sistem parit awam dan Sungai Selangkah yang berdekatan dengan kilang akibat kebakaran itu.

“Pemantauan lanjut kualiti udara di sekitar kawasan kejadian mendapati tahap kualiti udara tidak terjejas berdasarkan bacaan Total Volatile Organic Compound (TVOC) yang sangat rendah daripada tiga (3) buah stesen pengawasan automatik udara berhampiran.

“Tiga buah stesen itu terdapat di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Pasir Putih, SMK Tanjung Puteri dan sekitar Pelabuhan Johor.”kata kenyataan itu hari ini.

Pada awal pagi 1 Mac 2020, kilang Sun Hup Huat Enterprise Sdn. Bhd. beralamat di PLO 575 Jalan Keluli, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang yang menjalankan perusahaan kitar semula plastik, kertas dan besi telah
terbakar.

Kebakaran dipercayai berpunca dari stor barang-barang lusuh.

Kilang ini terletak lebih kurang 1 kilometer dari sekolah terdekat dan kawasan penempatan awam.

Kebakaran telah berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada pukul 12.30 tengah hari semalam.

Sebelum ini, MESTECC melalui JAS telah memasang sebanyak 25 buah stesen Photo Ionization Detector (PID) di sekitar bandar ini serta menempatkan dua (2) unit makmal bergerak iaitu Gas Chromatography –Mass Spectrometry (GCMS) dan Gas Chromatography – Flame Ionization Detector (GCFID) yang telah beroperasi sejak Januari 2020.

(MESTECC) melalui JAS telah memasang sebanyak 25 buah stesen Photo Ionization Detector (PID) di sekitar bandar ini serta menempatkan dua unit makmal bergerak

Pasir Gudang menjadi bandar industri pertama dilengkapi dengan sistem pengawasan yang akan memantau kualiti udara secara masa nyata (real time) bagi memberi amaran awal sekiranya berlaku sebarang insiden
pencemaran.

Kejadian kebakaran membabitkan kilang berkenaan turut tular di media sosial.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.