Ketatkan SOP suntik vaksin di klinik dan hospital swasta

Datuk Mustaffa Idrus

KUALA LUMPUR-Kerajaan perlu meletakkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi klinik dan hospital swasta yang menjalankan suntikan vaksinasi.

Pengerusi Perhubungan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, ia berikutan pendedahan media arus perdana terhadap cubaan merasuah doktor oleh individu yang menolak vaksin bagi tujuan memalsukan sijil vaksinasi.

“Perkara ini perlu dipandang serius dan diatasi. PUTRA Kedah bimbang sekiranya ada doktor yang termakan cubaan rasuah tersebut.

“Justeru kami mencadangkan kerajaan mengenakan SOP ketat kepada klinik atau hospital swasta terlibat,” katanya kepada pemberita hari ini.

Mustaffa berkata, PUTRA mencadangkan setiap suntikan vaksin dos pertama dan kedua di klinik atau swasta diwajibkan rakaman video.

“Semua rakaman ini perlu dilihat selepas sesi vaksinasi. Ini bagi mengelakkan ada mana-mana pihak yang melakukan penipuan.

“PUTRA tidak pasti SOP seperti ini telah dilaksanakan atau tidak. Jika belum, kami berharap pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat memberikan pertimbangan terhadap idea ini,”katanya.

Mustaffa berkata, golongan anti vaksin juga dinasihati bertaubat daripada menyebar dakyah dan propaganda tidak benar terhadap vaksin.

“Nasihat saya hentikanlah, negara ini ada ulil amri. Kita juga ada mufti, para doktor dan lain-lain bertauliah.

“Maka hentikanlah pembohongan. Taatilah ulil amri kerana ia ada dalam tuntutan Syarak,”katanya.

Media tempatan beberapa hari lalu melaporkan ada cubaan merasuah doktor bagi memalsukan sijil vaksinasi.

Perkara itu juga dipandang serius oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.