Kerap demam, adik Muhammad Akif disahkan Jantung berlubang

Muhammad Akif

BALING-Sepasang suami isteri di Kampung Baru, Dalam Wang di sini buntu mencari kos pembedahan buat bayi mereka.

Ini kerana bayi comel itu telah disahkan mengidap sakit jantung berlubang dan bakal menjalani pembedahan.

Ibu, Nurul Syuhada Murad,34, berkata, anaknya, Muhammad Akif Hafiy disahkan mengalami penyakit itu ketika berusia tujuh bulan.

“Sebelum itu Muhammad Akif sering mengalami cirit birit, demam dan muntah. Jadi saya dan suami (Mohd Hashimuddin Mohd Rudin, 34, ketika itu telah menghantar anak ke Hospital Baling sebelum dia dirujuk ke Hospital Kulim.

“Di sana, doktor pakar telah mengesahkan anak mengalami sakit jantung berlubang serta bengkak di sebelah kiri,”katanya kepada Rentas7.com hari ini.

Nurul Syuhada sedang mendukung Muhammad Akif manakala Mohd Hishamuddin kiri

Menurut Syuhada, doktor turut mengesahkan bahawa saluran oksigen anaknya tidak ke saluran yang betul tetapi ke saluran darah.

Disebabkan masalah itu katanya, bibir serta jari jemari kaki dan tangan Muhammad Akif sering kebiruan kerana tidak cukup nafas.

“Bila dia penat bibir dan jari tangan dan kakinya akan membiru, keadaanya seperti orang yang tidak cukup darah.

“Dalam sebulan dua hingga tiga kali jugalah keadaanya macam ni dan setiap kali itulah juga saya akan membawanya untuk dirawat di Hospital Baling,”katanya.

Tambahnya, anaknya juga tidak boleh terdedah dengan bunyi bising kerana akan menyebabkan dia cepat penat.

“Rumah kami di tepi jalan raya, jadi jika ada kenderaan besar yang lalu seperti lori Muhammad Akif akan cepat terkejut dan kebiruan,”katanya.

Nurul berkata, sebagai ibu dia sebenarnya amat bimbang dengan tahap kesihatan Muhammad Akif.

Mohd Hashimuddin menunjukkan surat pengesahan hospital

“Ibu mana yang tak bimbang, tapi hati saya kena kuat, saya perlu fikir positif . Saya sering berdoa supaya anak cepat sembuh,”katanya

Nurul berkata, Muhammad Akif kini sedang menunggu masa yang sesuai untuk menjalani pembedahan yang kosnya dianggarkan berjumlah RM60,000 hingga RM80,000.

“Sebelum menjalani pembedahan, doktor mahu berat anak dalam lingkungan lapan sehingga 10 kilogram (kg). Sekarang ini jika mengikut timbangan klinik desa berat anak telah mencecah 8 kg.

“Tetapi berat sebenar anak akan disahkan di Hospital Pulau Pinang pada bulan Julai ini. Pada bulan itulah baru tarikh sebenar pembedahan akan dimaklumkan termasuk jumlah sebenar kos bedah,”katanya.

Katanya, pihak hospital memberikan tiga pilihan hospital kepadanya dan suami bagi pembedahan itu kelak.

“Pilihan diberi ialah Hospital Serdang, Institut Jantung Negara (IJN) atau Hospital Kedah Medical Center (KMC).

“Bagi ketiga-tiga hospital ini, kami difahamkan perlu menyediakan kos pembedahan yang cukup termasuk yuran pendaftaran. Setakat ini kami mungkin untuk jalani pembedahan anak di Alor Setar,”katanya.

Tanpa pendapatan kukuh, bukanlah satu perkara mudah buat Nurul Syuhada dan suami mendapatkan kos bagi menampung pembedahan tersebut.

Selain Muhammad Akif, dia dan suami turut menyara empat lagi anak-anak yang masih berusia ,8 tahun, I0 tahun,12 tahun dan sulung berumur I4 tahun.

Mohd Hashimuddin bermain bersama Muhammad Akif

“Pendapatan suami hanya RMI,200 hasil bekerja di sebuah kuari. Pada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) suami tak bekerja kecuali jika dipanggil sahaja,”katanya.

Menurutnya, Muhammad Akif menerima bantuan RM450 sebulan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan bantuan itu digunakan bagi menguruskan keperluan harian bayinya itu.

Untuk sumbangan boleh hubungi keluarga ini di talian 019-446-9493 atau salurkan bantuan kepada mereka melalui 152068907446 Maybank.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.