Kenapa banyak tanah Melayu dirampas?- PAMM

Dato' Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI-Pertubuhan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah mengecam keras tindakan pihak berkuasa yang mengambil 37 lot rumah teres milik penduduk Melayu di Kampung Sungai Baru atas nama pembangunan.

Pengerusi PAMM Negeri Kedah, Dato’ Mustaffa Idrus berkata, tindakan tersebut merupakan satu bentuk penindasan terhadap kaum Melayu yang semakin dipinggirkan, sedangkan kaum lain diberi pembelaan dan perhatian.

Menurut beliau, penduduk Melayu diusir dari tanah dan rumah warisan mereka dengan pampasan yang jauh daripada nilai sebenar hartanah.

“Kaum Melayu diusir atas nama kemajuan, tetapi pampasan yang diberikan tidak setimpal. Bagi golongan warga emas, mereka tidak mampu lagi membuat pinjaman bank untuk memiliki rumah baharu. Akhirnya pampasan tidak seberapa ini hanya meninggalkan hutang kepada anak cucu mereka. Inilah bentuk penindasan yang nyata,” katanya.

Dato’ Mustaffa turut menyifatkan tindakan kerajaan sebagai double standard apabila dalam masa yang sama, Kampung Baru Cina diberikan peruntukan sebanyak RM84 juta untuk menaik taraf kemudahan asas dan sosial.

Lebih membangkitkan kemarahan, beliau mengecam cadangan pernah dilontarkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, yang mahu mencalonkan Kampung Baru Cina di Selangor sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi mengiktiraf kepentingan budaya dan sejarah penempatan itu.

“Apakah nasib Kampung Melayu tidak ada nilai budaya dan sejarah? Mengapa begitu ghairah menjaga penempatan kaum lain, tetapi tidak peduli terhadap kampung tradisi Melayu yang sedang dihapuskan? Ini jelas satu bentuk penghinaan kepada maruah bangsa,” tegas beliau.

PAMM Negeri Kedah dalam kenyataannya menuntut agar kerajaan segera membatalkan pengambilan tanah secara paksa di Kampung Sungai Baru, menyediakan pampasan yang benar-benar setimpal dengan harga pasaran serta menghentikan dasar pembangunan yang berat sebelah antara kaum.

Dato’ Mustaffa menegaskan, PAMM Kedah akan terus berdiri teguh bersama penduduk Kampung Sungai Baru dan memperjuangkan hak mereka agar tanah warisan Melayu tidak tergadai atas nama pembangunan

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.