Kedah tuntut bayaran air mentah dari Pulau Pinang

ALOR SETAR– Kedah akan mengenakan bayaran bekalan air mentah terhadap Pulau Pinang.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, selama ini Pulau Pinang menerima sumber air dari kawasan tadahan air Ulu Muda secara percuma.

Justeru itu katanya, kerajaan negeri telah menghantar surat rasmi kepada Pulau-Pinang bagi menuntut bayaran yang hanya berjumlah 10 sen bagi setiap satu meter padu air mentah.

“10 sen sahaja kita tuntut dan pihak kerajaan telah mengutus surat secara rasmi bagi menuntut bayaran air mentah dari Pulau Pinang.

“Kita tengoklah sejauh mana Pulau Pinang sedia menjadi jiran yang baik, menghargai kesetiaan kita menyimpan hutan yang begitu luas sebagai kawasan tadahan supaya rakyat Pulau Pinang tidak kehausan dan dapat mengairi kawasan pertanian,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-14 semalam.

Atas pengorbanan itu, Sanusi berkata, Kedah kehilangan berbilion-bilion ringgit dalam kawasan Ulu Muda demi memastikan rakyat Pulau Pinang mendapat bekalan air.

“Syarikat Air Darul Aman (SADA) sendiri membayar kepada Lembaga Sumber Air Negeri tiga sen bagi satu meter padu air mentah kerana Lisan perlu menjadi badan pengawal selia jaga alam sekitar, jaga sumber-sumber air di sungai.

“Tetapi Pulau Pinang mengambil (bekalan air mentah) secara percuma,”katanya.

Dalam pada itu, Sanusi berkata, Pulau Pinang sebagai negeri jiran perlu lebih menghormati Kedah.

Menurutnya, negeri itu selama ini bukan sahaja menikmati air mentah dari Kedah tanpa bayaran, namun sering mencampuri urusan negeri Kedah.

Katanya, Pulau Pinang turut menghantar drone bagi meninjau kawasan sungai dan hutan Kedah seolah-olah negeri ini tiada tuan.

Tegasnya, Kedah ialah sebuah negeri berdaulat dan tidak boleh diceroboh sesuka hati.

“Siapa yang baik dengan Pulau Pinang tolong pi habaq, jangan duk buat kerja macam tu. Masuk secara betul.

“Fasal dia ambil air mentah, sumbernya dari kawasan tadahan di Ulu Muda, lalu kot (saliran) di Sungai Muda sampailah ke tempat dia di barat (Pulau Pinang), tapi jika kita belat di Ulu Muda dia tak dapat air.

“Tapi duk masuk negeri kita duk buat kenyataan-kenyataan seolah-olah Kedah ini tiada tuan. Dia kata Kedah kena buat itu, buat ini ..(tapi) dia duk makan kedarah free (ambil air percuma),”katanya.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.