Kasih Sayang Hilang di Rumah, Anak Hilang Arah di Sekolah

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI-Pengerusi Persatuan Angkatan Melayu (PAMM) Kedah, Dato’ Mustafa Idrus, menegaskan ibu bapa perlu menilai semula tanggungjawab mereka dalam mendidik anak-anak sebelum menuding jari kepada pihak sekolah apabila berlaku pelbagai masalah sosial dalam kalangan remaja.

Beliau berkata, banyak kes salah laku seperti pergaduhan, samseng, jenayah kecil, dan gejala sumbang mahram berpunca daripada kegagalan ibu bapa memberikan perhatian serta kasih sayang sewajarnya kepada anak-anak di rumah.

“Cikgu hanya mendidik di sekolah, tetapi perilaku anak-anak dibawa dari rumah. Ibu bapa hari ini terlalu sibuk mencari kehidupan, kekayaan dan perbelanjaan, hingga terlalu sedikit masa diperuntukkan untuk anak-anak,” katanya dalam satu siaran Facebook.

Menurut beliau, kebanyakan ibu bapa beranggapan tanggungjawab mendidik anak selesai apabila mereka dihantar ke sekolah, sedangkan pendidikan sebenar bermula daripada rumah.

“Kadang-kadang tidak ada masa langsung untuk makan bersama mereka. Anak-anak yang tidak mendapat kasih sayang ini akhirnya berasa terpinggir, berontak dalam diam dan hidup dalam tekanan,” katanya lagi.

Dato’ Mustafa menegaskan bahawa kegagalan membina komunikasi dan kasih sayang dalam keluarga menjadi punca utama keretakan rumah tangga serta peningkatan kes jenayah dalam masyarakat.

“Apabila hubungan suami isteri mula renggang, kasih sayang antara ibu dan anak semakin jauh, maka masing-masing akan mencari tempat lain untuk melepaskan kekosongan itu.

“Dari sinilah timbul pelbagai tragedi termasuk pembunuhan, perebutan pasangan dan konflik rumah tangga,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua ibu bapa agar kembali memberi keutamaan kepada keluarga dan memperkukuh hubungan kasih sayang dalam rumah tangga.

Selain itu katanya, ibu-bapa disaran mendekatkan diri dengan aktiviti PIBG supaya dapat mengikuti perkembangan anak-anak dan sekolah.

Tamat

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.