ALOR SETAR-Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah menempelak tindakan biadab Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng, yang lantang mengecam kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung larangan penganjuran majlis melibatkan alkohol di dewan awam dalam kawasan sekolah.
Pengerusi PAMM Kedah, Datuk Mustaffa Idrus, berkata tindakan Guan Eng itu memperlihatkan keangkuhan sebenar DAP yang tidak pernah menghormati nilai moral, norma masyarakat, serta kepekaan umat Islam terhadap isu arak di tempat awam.
Menurut beliau, arahan Perdana Menteri supaya sekolah tidak dijadikan lokasi majlis yang melibatkan minuman keras adalah langkah wajar dan berpaksikan kepada prinsip keselamatan serta pembentukan sahsiah pelajar.
“Sepatutnya kenyataan Perdana Menteri disambut dengan sokongan, bukannya dipertikai. Sekolah adalah tempat mendidik anak bangsa, bukan lokasi pesta minum arak. Jangan sampai hilang pedoman dalam mengejar populariti politik,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Datuk Mustaffa turut menegaskan bahawa kenyataan Guan Eng itu menggambarkan DAP semakin terdesak untuk mempertahankan budaya yang tidak sesuai dengan nilai masyarakat majmuk di Malaysia.
Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk memastikan sekolah kekal sebagai kawasan selamat, bebas daripada sebarang bentuk anasir negatif termasuk jenayah sosial dan budaya mabuk yang boleh merosakkan generasi muda.
“Apabila DAP mempertikaikan larangan sebegini, ia menunjukkan betapa jauhnya mereka tersasar daripada semangat menghormati sensitiviti masyarakat Islam yang merupakan majoriti di negara ini,” ujarnya.
Katanya lagi, tindakan Lim Guan Eng juga boleh menimbulkan keresahan antara kaum dan menggugat keharmonian nasional sekiranya tidak ditegur dengan tegas.
Datuk Mustaffa menyeru masyarakat, khususnya orang Melayu dan umat Islam, agar tidak berdiam diri terhadap provokasi halus yang dilakukan oleh pimpinan DAP yang seolah-olah mahu mencabar dasar moral dan adab masyarakat negara ini.
“Negara perlu menolak DAP yang semakin jelas menunjukkan wajah sebenar . Inilah sebuah parti yang tidak pernah serik mencabar nilai-nilai agama, moral dan budaya bangsa,” tegasnya.
RENTAS7








Leave a Reply