HMPV, Madani diingat tidak ulang kesilapan PH 22 bulan

Datuk Mustaffa Idrus

KUALA LUMPUR– Kerajaan Madani dinasihati tidak melakukan kesalahan sama seperti PH 22 bulan dengan membiarkan ramai pelancong China masuk ke negara ini ketika negara berkenaan sedang mengalami peningkatan kes human metapneumovirus (HMPV).

Pengerusi Pertubuhan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah, Dato’ Mustaffa Idrus berkata, PH 22 bulan mengambil sikap sambil lewa dengan tidak menyekat pelancong China masuk sedangkan negara itu sedang dihimpit wabak korona ketika itu.

“Kemudian menyaksikan PH tumbang sekerat jalan dan digantikan dengan kerajaan PN. Beberapa langkah terpaksa diambil seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kita semakin hampir dengan perayaan Tahun Baru China. PAMM mahu rakyat sedar permainan-permainan yang boleh dimainkan pihak tertentu dengan menjadikan negara ini sebagai lubuk mencucuk vaksin dan PKP,”katanya.

Beliau berkata, kemasukan pelancong China ke Malaysia semakin meningkat selepas kerajaan mewujudkan Pelan Liberalisasi Visa ( LPV) yang bertujuan mempromosikan Malaysia sebagai pelancongan utama.

“Data menunjukkan jumlah pelancong China meningkatkan dari 1.6 juta pada tahun 2023 kepada 3.9 juta pada tahun 2024 iaitu peningkatan hampir 140 peratus.

“Sewaktu pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik pelaksanaan PKP penuh tetapi perlu disuntik dengan kewangan.

“Namun kini, apakah beliau akan berpegang kepada janji itu? Kita hanya minta satu iaitu jika HMPV berisiko kepada kesihatan rakyat Malaysia, maka pelancong China wajib disekat buat sementara waktu.

“Kita tidak mahu ada alasan tahap kesihatan pelancong dibuat saringan dan sebagainya, akhirnya wabak-wabak itu dikatakan muncul dan kemudian berlaku percaturan untuk PKP.

“Jangan merisikokan rakyat atas apa saja percaturan atau sikap sambil lewa. Kerajaan yang tidak menunjukkan belas kasihan pasti akan menerima hukuman,”katanya.

Beliau berkata, kemasukan pelancong China tidak terkawal juga dibimbangi akan membawa masalah jenayah dan sebagainya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.