Hampir diserang Siam, ini tindakan Cik Siti Wan Kembang

ALOR SETAR-Masjid dijadikan tempat memohon bantuan ALLAH daripada serangan Siam ketika Kelantan di bawah pemerintahan Cik Siti Wan Kembang.

Mudir Madrasah Madrasah Nurul Hidayah, Mohd Zainon Ariffin (gambar) berkata, pada zaman baginda, rakyat diminta mengamalkan solat jemaah di masjid secara konsisten.

Menurutnya, kisah tersebut ada dicatatkan dalam sejarah Melayu.

“Ketika itu Siam mahu menyerang Kelantan atas beberapa sebab. Antaranya Siam yang dipimpin raja bukan Islam mahu menakluk negeri Kelantan.

“Menyedari kekuatan yang ada pada Siam, Cik Siti Wan Kembang yang memerintah negeri dengan bantuan para alim ulama mengarahkan rakyatnya bersolat jemaah di masjid dan meminta bantuan ALLAH,”katanya kepada Rentas7.com.

Beliau yang juga penceramah bebas berkata, berkat usaha itu, misi Siam menawan Kelantan tidak diteruskan apabila raja mereka mati mengejut secara tiba-tiba.

“Itulah salah satu bantuan daripada ALLAH kepada rakyat negeri Kelantan,  apabila mereka yakin sepenuhnya dengan ALLAH maka bantuan pasti akan datang,”katanya.

Menurut rekod Kelantan, Cik Siti Wan Kembang memerintah Kelantan yang lebih dikenali sebagai kerajaan ‘Serendah Sekebun Bunga’ di antara tahun 1610-1677 Masihi.

Baginda lahir pada tahun 1570 hasil perkahwinan Sultan Ahmad dan Permaisuri, Che Bainun.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.