Desak Perdana Menteri interim lucut segera jawatan Tommy Thomas

SUNGAI PETANI– Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) mendesak Perdana Menteri interim segera melucutkan jawatan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.

Ketua Penyelaras PUTRA Kedah, Datuk Mustaffa Idrus (gambar) berkata, keputusan membebaskan 12 individu yang berhadapan tuduhan menyokong Kumpulan Pengganas, Harimau Tamil Ealam (LTTE) membuktikan Tommy mencampuri urusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) termasuk siasatan polis.

Menurutnya, Tommy telah melangkaui jawatannya sebagai Peguam Negara dan tindakan tersebut jelas menghina kuasa KDN  dan Perlembagaan negara.

“Sebelum ini Menteri KDN telah mengeluarkan kenyataan bahawa polis mempuyai bukti yang sangat cukup untuk membawa kumpulan ini ke mahkamah. Namun, yang terjadi 12 lelaki ini diberhentikan prosiding undang-undang.

“PUTRA dengan ini menuntut Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir memecat segera Tommy secepat mungkin demi kebaikan seluruh rakyat Malaysia,”katanya.

Beliau berkata, Malaysia sebuah negara yang perlu dikekalkan keamanannya dan tidak ada ruang untuk pengganas di tanah air tercinta ini.

BH Online pada 26 Februari lalu melaporkan Mahkamah Tinggi telah melepas dan membebaskan salah seorang daripada kumpulan tersebut iaitu Ahli Dewan Undangan (ADUN) Seremban Jaya, P Gunasekaran daripada tuduhan memberikan sokongan kepada kumpulan LTTE.

Tommy pada 21 Februari lalu membuat keputusan di luar jangkaan apabila memberhentikan prosiding undang-undang terhadap 12 lelaki warga tempatan yang dituduh menyokong LTTE.

 

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.