Kampung Bandar, bukti hubungan perniagaan Kedah-Patani

dav

BALING– Kewujudan Kampung Bandar dalam Dun Bayu sebenarnya berkait rapat dengan industri perlombongan terbesar di Kedah ketika zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1882 hingga 1943).

Penasihat Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah ( PSMCK), Datuk Wira Dr Wan Shamsudin Mohd Yusof berkata, hasil perlombongan pada zaman sultan Kedah ke 26 itu digunakan sebagai hasil negeri.

“Kampung Bandar adalah salah sebuah kawasan perlombongan selain daripada Karangan di Kulim. Kawasan perlombongan itu dipajak oleh seorang usahawan Cina bernama Chong Kian kepada kerajaan Kedah.

“Hasil pajakan itu digunakan kerajaan untuk tampung perbelanjaan negeri seperti bayar gaji pegawai kerajaan negeri, penghulu dan  pembangunan negeri,” katanya.

Menurutnya, Kampung Bandar pada zaman itu adalah laluan perdagangan di antara Patani dan Baling.

“Selain daripada kawasan perlombongan, Kampung Bandar  juga mempunyai hubungan perniagaan dengan Patani , sebab itu ia didiami ramai penduduk waktu tersebut,”katanya

Wan Shamsudin berkata, Chong Kian mula memajak lombong di Baling pada tahun 1899 dengan mengadakan perjanjian dengan kerajaan negeri yang diwakili Tunku Abdul Aziz iaitu adinda kepada Sultan Abdul Hamid Shah.

“Surat perjanjian itu ditandatangani kedua pihak pada 6 Disember 1899 di dalam tulisan Jawi. Beliau juga dikehendaki menjelaskan duit cagaran berjumlah 7,200 Riyal kepada kerajaan negeri.

“Dalam surat perjanjian itu juga, Chong Kian dibenarkan memajak timah yang dibawa masuk dari Patani dengan cara mendulang di sungai kepada pemerintah,”katanya.

Wan Samsudin menunjukkan surat salinan perjanjian memajak lombong lombong timah di Bandar, Baling

Beliau berkata, tempoh perjanjian pajakan itu dibuat selama lima tahun.

“Dalam perjanjian itu terkandung di dalamnya ialah tarikh mula perjanjian dibuat, jumlah tahun dipajak , bayaran cagaran dan bayaran-bayaran berikutnya.

“Tempoh perjanjian dibuat adalah lima tahun, selepas tamat tempoh itu tidak dapat dipastikan sama ada Chong Kian memperbaharui atau tidak perjanjian berkenaan,”katanya.

Menurutnya, surat perjanjian asal itu kini disimpan di Arkib Negara Malaysia Cawangan Kedah.

Wan Shamsudin berkata, perlombongan di Baling diusahakan oleh kaum Cina.

“Orang Melayu tidak mengambil bahagian dalam perlombongan biarpun Baling ketika itu sedang membangun.Orang Melayu lebih cenderung dengan pertanian dan hasil hutan,”katanya.

Katanya lagi, tapak bekas perlombongan itu kini berkemungkinan dibuka ladang -ladang pertanian.

Tamat

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.