Brunei tampil lebih garang hadapi Piala AFF

Pasukan kebangsaan Brunei

KUALA LUMPUR-Skuad kebangsaan Brunei Darussalam tampak serius menghadapi kejohanan Piala Persekutuan Bolasepak Asean (AFF) Suzuki 2020 pada tahun depan.

Keadaan negara yang bebas daripada pandemik COVID-19 membolehkan pasukan kebangsaan Brunei menjalani tiga kem latihan bermula September lalu lapor Asean Football yang memetik AFF.

Minggu ini, seramai 30 pemain menjalani latihan dibawah ketua jurulatih sementara iaitu Ameer Aziz- Hakim Abdul Lani.

Beliau dibantu Aminuddin Jumat dan Mohd Wardi Masni dan Atsushi Hanita.

Presiden Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam, Pengiran Matusin Pengiran Matasan berkata, Brunei sebelum ini gagal membentuk pasukan dengan baik kerana kekurangan persiapan.

“Tetapi kali ini, kami telah mengambil pendekatan berbeza untuk memberikan lebih banyak masa persiapan kepada skuad.

“Kami harap dengan lebih banyak masa pemain akan tampil lebih baik,”katanya.

Sementara itu Ameer berkata, pasukan Brunei sedang dipersiapkan untuk ketua jurulatih baru.

“Menjelang akhir jendela FIFA, kami mengharapkan para pemain meningkatkan kualiti serangan,”katanya yang berharap pemain menyesuaikan diri dengan corak corak permainan menyerang berbanding bertahan.

Brunei dilaporkan dalam proses akhir melantik ketua jurulatih yang baharu.

Antara nama dalam senarai tiga calon akhir untuk mengemudi pasukan kebangsaan negara itu adalah bekas ketua jurulatih Malaysia, Datuk K Rajagobal.

Skuad Brunei menghuni tangga ke-191 ranking FIFA. Di peringkat Asia Tenggara mereka berada di tangga kesembilan berbanding 10 pasukan.

Berikutan COVID-19, AFF telah menunda kejohanan pada tahun ini kepada tahun depan.

Tirai kejohanan akan bermula 11 April dan final akan berlangsung pada 8 Mei 2021.

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.