SUNGAI PETANI– Semua anak perantauan yang akan pulang ke desa menyambut Aidilfitri dinasihati tidak gopoh memandu.
Pengerusi Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu ( PAMM) Negeri Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, cara dan sikap masyarakat memandu menjadi faktor utama kepada berlaku atau tidak satu-satu kemalangan jalan raya.
“Dalam kegairahan pulang berhari raya ke kampung, setelah hampir tiga tahun tidak berhari raya bersama keluarga, maka elaklah memandu mengikut nafsu dan emosi.
“Ingatlah orang tersayang. Jangan sedihkan mereka di pagi Aidilfitri dek kerana kita,”katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata, para perantau digalakkan merancang perjalanan supaya tidak tersangkut dalam kesesakan jalan raya.
“Setiap kali Aidilfitri, kesesakan di lebuh raya pasti berlaku menyebabkan aliran trafik menjadi sangat perlahan.
“PAMM cadangkan supaya anak perantauan bertolak selepas solat Subuh.
“Pastikan kita tidak terlalu kenyang ketika bersahur supaya tidak mengantuk ketika memandu.
“Pada waktu lain pun baik pagi, tengah hari, petang atau malam jika mengantuk janganlah meneruskan pemanduan,”katanya.
Menurut Mustaffa, pemandu perlu dipastikan mendapat cukup rehat dan tidur supaya tidak terjebak dengan kemalangan atau menjadi punca kepada hilangnya nyawa orang lain.
“PAMM turut menasihati supaya setiap pemandu tidak memandu dengan bermain talefon bimbit kerana tindakan anda itu tidak jauh beza dengan pemandu mabuk,”katanya.
Dalam pada itu, Mustaffa dan keluarga PAMM mendoakan kesemua anak perantauan selamat tiba ke destinasi masing-masing.
Tambahnya, solat Aidilfitri kali ini perlu dimanfaatkan masyarakat untuk hadir ke masjid dan surau selain menghayati erti Syawal dengan penuh kesedaran.
RENTAS7








Leave a Reply