ALOR SETAR-Pengerusi Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Kedah, Dato’ Dr Mustaffa Idrus, berpandangan perjalanan Sidang Khas Dewan Rakyat semalam tidak memberikan hasil seperti yang diharapkan, khususnya dari sudut kepentingan rakyat.
Beliau berkata, sidang khas yang sepatutnya memberi ruang lebih menyeluruh untuk Ahli Parlimen membincangkan Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji dilihat tidak mencapai matlamat yang diharapkan.
“Sidang khas sepatutnya menjadi ruang untuk Ahli Parlimen mendapatkan penjelasan yang lebih menyeluruh, termasuk melalui perbahasan dan pertanyaan daripada pihak kerajaan serta pembangkang.
“Namun apabila ia lebih tertumpu kepada sesi penerangan, ruang untuk perbahasan secara lebih terbuka dilihat menjadi terhad. Saya berpandangan keadaan seperti ini tidak sepatutnya berlaku dalam sebuah Parlimen yang berfungsi sebagai medan semak dan imbang,” katanya.
Beliau berkata, rakyat mengharapkan setiap sidang khas yang dipanggil benar-benar memberi ruang kepada wakil rakyat untuk membincangkan isu secara substantif dan mendapatkan jawapan terhadap persoalan yang dibangkitkan.
Dalam pada itu, Mustaffa turut mengulas tindakan Ahli Parlimen pembangkang yang meninggalkan Dewan sebagai tanda protes terhadap perjalanan sidang tersebut.
“Dari sudut prinsip, kita memahami tindakan itu sebagai satu bentuk protes.
“Bagaimanapun, mungkin terdapat pendekatan lain yang boleh digunakan untuk menyatakan bantahan tanpa meninggalkan Dewan.
“Mereka boleh menggunakan peraturan-peraturan tertentu untuk mencelah menyampaikan suara rakyat, termasuk mengambil bahagian berbahas walaupun peruntukan masa mungkin sedikit,”katanya.
Beliau menegaskan, kritikan terhadap kerajaan dan tindakan semak imbang pembangkang merupakan sebahagian daripada proses demokrasi, namun semua pihak perlu memastikan kepentingan rakyat kekal menjadi keutamaan.
“Yang penting, jangan sampai perbezaan pendirian politik menyebabkan fungsi Parlimen sebagai institusi yang mewakili suara rakyat terjejas.
“Rakyat mahu melihat Parlimen berfungsi dengan berkesan, bukan mengadakan sidang khas tetapi tidak boleh membelah akar masalah yang timbul . Isu RCI Tabung Haji ini semalam sepatutnya dibahaskan oleh semua Ahli Parlimen termasuk dihadiri PMX.
“Lebih baik menangguh sidang daripada membiarkan sidang ini berlalu tetapi berakhir kegagalan,” katanya.
Mustaffa berkata, kerajaan dan pembangkang mempunyai peranan masing-masing dalam memastikan perjalanan demokrasi negara terus matang, termasuk dengan menghormati fungsi Dewan Rakyat sebagai tempat perbahasan dan semak imbang.
Beliau berharap sebarang sidang khas pada masa akan datang dapat dilaksanakan dengan lebih terbuka dan memberi ruang yang sewajarnya kepada semua pihak dengan harapan keputusan serta penjelasan yang diberikan benar-benar memenuhi kepentingan rakyat.
RENTAS7








Leave a Reply