Operasi skala besar askar Siam sasar pemuda Patani, penduduk hidup kebimbangan

Operasi tentera di Kampung Kucing Lepas menahan beberapa pemuda Patani

Laporan: Fatimoh Ja’ae

PATANI-Operasi memburu penduduk Patani yang dituduh mempunyai kaitan dengan kumpulan pembebasan Patani Darussalam semakin dipertingkatkan oleh pasukan keselamatan Thailand, susulan tuduhan mereka terhadap kumpulan pejuang mendalangi serangan di Tanjung Mas, Narathiwat pada 22 Julai lalu.

Beberapa penduduk tempatan dilaporkan ditahan dalam operasi yang dijalankan sejak hujung Julai lalu dengan pasukan keselamatan menyasarkan pemuda tempatan tanpa sebarang bukti kukuh.

Empat pemuda yang dikenali sebagai Marawi, Kariming, Nurudin dan Anas dilaporkan ditahan di Kampung Kucing Lepas sebelum dibawa ke kem tentera di Mukim Wang Phaya, Daerah Raman, Wilayah Jala. Anas kemudiannya dilaporkan dibawa ke Kem Tentera Ingkayuthborehan di Telaga Bakung, Daerah Nongchik, Wilayah Patani.

Dalam operasi berasingan di Mukim Glong Mani, Daerah Bandaran, seorang lelaki berusia 28 tahun yang dikenali sebagai Hassan turut dilaporkan ditahan. Beliau kemudiannya dibawa ke Kem Tentera Inkayuthborihan di Telaga Bakung untuk tujuan tahanan dan siasatan.

Pada 1 Ogos, sekumpulan tentera dengan jumlah besar  melakukan serbuan di Kampung Kucing Lepas, Mukim Chelom, Daerah Rangit, dalam operasi memburu suspek-suspek kumpulan pejuang Patani .

Tindakan ganas tersebut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk tempatan yang bimbang terhadap keselamatan mereka serta kemungkinan berlaku lebih banyak penahanan.

Beberapa pertubuhan hak asasi manusia di Patani turut mengkritik operasi berkenaan dan mempersoalkan kaedah yang digunakan pihak berkuasa dalam menangani konflik keselamatan di wilayah selatan Thailand.

Pihak berkuasa Thailand bagaimanapun belum memberikan kenyataan rasmi berhubung jumlah keseluruhan tangkapan atau dakwaan terhadap individu yang ditahan.

Maklumat mengenai lokasi tahanan, tempoh reman dan status siasatan mereka juga masih belum dapat disahkan secara bebas.

Kebanyakan penduduk percaya  pihak sebenar yang melakukan operasi di Tanjung Mas mempunyai kaitan dengan askar sendiri.

RENTAS7
#patani

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.