Buktikan 5000 Rohingya dihantar pulang, jangan bermain wayang dengan rakyat, PAMM gesa kerajaan pastikan semua dihantar di luar zon perang

Dato' Dr Mustaffa Idrus

ALOR SETAR-Pertubuhan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Kedah menggesa Kerajaan Persekutuan membuktikan bahawa penghantaran pulang 5,000 pelarian Rohingya ke Myanmar benar-benar dilaksanakan sebagaimana diumumkan, dan bukannya kenyataan tanpa bukti.

Presidennya, Dato’ Dr. Mustaffa Idrus, berkata kerajaan perlu mengemukakan dokumentasi lengkap, rakaman proses penghantaran, serta membuka ruang kepada liputan media tempatan dan antarabangsa supaya rakyat dapat melihat sendiri ketelusan pelaksanaannya.

“Jika kerajaan benar-benar serius, buktikan kepada rakyat. Tunjukkan dokumentasi, benarkan liputan media dan pastikan proses itu dapat disahkan.

“Jangan biarkan isu ini menjadi bahan propaganda politik atau dimanipulasi untuk meraih sokongan menjelang pilihan raya,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan tidak seharusnya dipengaruhi oleh desakan mana-mana pihak yang mahu rancangan penghantaran pulang itu dibatalkan.

Namun atas pertimbangan kemanusiaan dan tuntutan Islam, kerajaan wajib memastikan setiap pelarian yang dihantar pulang tidak ditempatkan di kawasan yang masih bergolak atau berisiko tinggi akibat konflik bersenjata di Myanmar.

Sebaliknya, mereka hendaklah ditempatkan di kawasan yang selamat, termasuk wilayah atau lokasi yang diiktiraf aman oleh kerajaan Myanmar, dengan jaminan keselamatan daripada kerajaan Myanmar serta pemantauan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan UNHCR.

“Islam mengajar kita berlaku adil dan berperikemanusiaan. Pelarian tidak boleh dihantar ke kawasan yang boleh mengancam nyawa mereka. Pastikan mereka ditempatkan di kawasan yang selamat dengan jaminan keselamatan yang jelas,” katanya.

Dalam masa yang sama, Dato’ Dr. Mustaffa turut mengingatkan kerajaan supaya memastikan jumlah yang dihantar pulang benar-benar menepati angka yang diumumkan.

“Kalau kerajaan kata 5,000 orang dihantar pulang, maka pastikan benar-benar 5,000 orang.

” Jangan sampai rakyat melihat 5,000 dihantar tetapi akhirnya puluhan ribu lagi memasuki negara ini tanpa kawalan yang berkesan.

“PAMM Kedah menyokong penyelesaian yang telus, berperikemanusiaan dan mengikut lunas undang-undang, tanpa mengabaikan keselamatan negara serta kepentingan rakyat Malaysia,” katanya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.