ALOR SETAR– Lebih ramai umat Melayu Islam akan mati dilanggar pemandu mabuk sekiranya menteri pengangkutan tidak diturunkan dengan digantikan oleh menteri lebih adil dan bijak.
Pengerusi Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Kedah, Dato’ Dr Mustaffa Idrus mempersoalkan mengapa isu pemanduan di bawah pengaruh alkohol yang telah meragut banyak nyawa rakyat masih belum diberikan perhatian sewajarnya oleh kerajaan.
Beliau berkata, setiap tahun rakyat Malaysia, termasuk orang Melayu Islam, terus menjadi mangsa kemalangan yang melibatkan pemandu mabuk, namun sehingga hari ini masyarakat masih menunggu pendekatan lebih tegas daripada kerajaan.
Menurut beliau, pengumuman dan pindaan yang sering diketengahkan oleh Kementerian Pengangkutan lebih tertumpu kepada kesalahan-kesalahan tertentu yang telah sedia wujud dalam undang-undang.
“Rakyat mahu melihat pembaharuan yang benar-benar memberi kesan kepada keselamatan awam, bukannya mengumumkan penambahan kadar hukuman terhadap peruntukan yang telah lama ada.
“Kita bukan hanya ada menteri yang beri mudharat kepada rakyat, tetapi kita juga sedang menanggung beban dengan memberikan kuasa kepada kerajaan yang tidak pun membela rakyat sendiri,” katanya.
Beliau turut menyifatkan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, gagal memberikan keutamaan yang mencukupi terhadap isu pemanduan di bawah pengaruh alkohol.
Katanya, masyarakat tertanya-tanya mengapa isu yang melibatkan kehilangan nyawa akibat pemandu mabuk tidak dijadikan agenda utama dalam usaha meningkatkan keselamatan jalan raya.
“Kita sering mendengar pelbagai pengumuman berkaitan penguatkuasaan, tetapi rakyat mahu tahu apakah langkah baharu yang benar-benar mampu mencegah tragedi melibatkan pemandu mabuk daripada terus berulang,” katanya.
Beliau berkata, keluarga mangsa yang kehilangan orang tersayang akibat dirempuh pemandu mabuk berhak mendapat pembelaan yang lebih serius daripada kerajaan.
Tambah beliau, hukuman yang lebih berat perlu dipertimbangkan supaya menjadi pengajaran dan memberi kesan pencegahan kepada mereka yang memandang ringan soal keselamatan pengguna jalan raya.
Menurut Dato’ Mustaffa, masyarakat semakin kecewa apabila isu yang menyentuh nyawa rakyat dilihat tidak diberikan perhatian setara dengan isu-isu lain yang kurang mendesak.
Beliau menegaskan bahawa nyawa rakyat tidak boleh dinilai secara ringan dan kerajaan perlu menunjukkan kesungguhan politik untuk menangani masalah tersebut.
Katanya, PAMM Kedah akan terus menyuarakan tuntutan supaya undang-undang berkaitan pemanduan di bawah pengaruh alkohol dikaji semula dan diperketatkan demi kepentingan rakyat.
Beliau turut menggesa Kementerian Pengangkutan tampil menjelaskan hala tuju sebenar kerajaan dalam menangani kes pemandu mabuk yang semakin membimbangkan masyarakat.
” Setiap nyawa yang terkorban di jalan raya akibat kecuaian pemandu mabuk adalah kehilangan yang tidak boleh diganti,” katanya.
Beliau berharap kerajaan mendengar suara rakyat dan meletakkan keselamatan pengguna jalan raya sebagai keutamaan tertinggi dalam setiap pindaan undang-undang pada masa akan datang.
RENTAS7








Leave a Reply