KUALA LUMPUR -Mexico menjaringkan gol “curi ayam” dalam kemenangan penting 1-0 ke atas Korea Selatan di Stadium Guadalajara pagi tadi.
Gol tunggal perlawanan hadir pada minit ke-50 menerusi Luis Romo yang pantas menyambar bola terlepas daripada genggaman penjaga gol Korea Selatan selepas berlaku perlanggaran dengan rakan sepasukan sendiri di kawasan penalti.
Walaupun tewas, Korea Selatan sebenarnya lebih banyak menguasai permainan dengan mencatat 57 peratus penguasaan bola berbanding Mexico yang merekodkan 43 peratus.
Kedua-dua pasukan melakukan lapan percubaan ke arah gol, namun Mexico lebih berkesan apabila mencatat empat percubaan tepat berbanding hanya dua oleh Korea Selatan.
Korea Selatan seharusnya menyalahkan diri sendiri kerana gagal memanfaatkan beberapa peluang terbaik yang terhidang.
Pasukan itu juga dilihat kurang kreatif dalam usaha menembusi benteng pertahanan tuan rumah yang bermain dengan cukup disiplin sepanjang perlawanan.
Bagaimanapun, peluang Korea Selatan untuk mara ke pusingan kedua masih terbuka.
Keputusan seri 1-1 antara Republik Czech dan Afrika Selatan membolehkan Korea Selatan kekal di tangga kedua Kumpulan A dengan tiga mata hasil kemenangan ke atas Republik Czech dalam perlawanan pembukaan.
Mexico kini berada di landasan terbaik untuk mengesahkan tempat ke pusingan seterusnya selepas mengutip enam mata daripada dua perlawanan.
RENTAS7 / FOTO: Korea Football








Leave a Reply