Laporan: Ilyas Salleh
KUALA KETIL-Sektor pertanian khususnya tanaman salak terus menunjukkan potensi yang memberangsangkan di kawasan Mukim Teloi Kanan apabila dua kebun salak milik usahawan tempatan berjaya diusahakan secara aktif dan produktif.
Lawatan pemantauan telah diadakan ke kebun salak milik Ramli Md Nor di Kampung Tembak B yang mengusahakan sebanyak 100 pokok salak, serta kebun milik Sobri bin Abdullah di Kampung Banggol Serdang yang mempunyai 600 pokok salak, hari ini.

Lawatan tersebut bertujuan meninjau perkembangan tanaman, mengenal pasti cabaran yang dihadapi pengusaha serta melihat potensi pengembangan industri salak di kawasan berkenaan.
Turut hadir dalam lawatan itu ialah Penghulu Mukim Teloi Kanan, Muhammad Effy Izzuan, Ketua Kampung Banggol Serdang, Elias Salleh, Pegawai Pertanian, Nor Azlina Jamil, serta Penolong Pegawai Pertanian, Azleeza Azmi.

Tanaman salak mempunyai prospek yang baik sebagai sumber pendapatan tambahan yang lumayan kepada penduduk luar bandar sekiranya diurus secara sistematik dan mendapat sokongan teknikal yang berterusan.

Usaha pengusaha tempatan seperti Ramli Md Nor dan Sobri Abdullah membuktikan bahawa sektor pertanian mampu menjadi pemangkin ekonomi masyarakat setempat, di samping menyokong agenda keterjaminan makanan dan pembangunan pertanian daerah Baling.
RENTAS7








Leave a Reply