SMK Sungai Layar Rai Jubli Mutiara Dengan Kejohanan Sukan Penuh Gemilang

Dato' Mustaffa dan dif-dif jemputan bergambar kenangan bersama pasukan kadet polis yang muncul naib juara perbarisan

SUNGAI PETANI– Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Layar yang berlangsung sempena sambutan Jubli Mutiara 30 tahun penubuhannya berjaya mencipta suasana penuh meriah, sekali gus mengeratkan hubungan antara warga sekolah dan komuniti setempat.

Program yang dinanti-nantikan setiap tahun itu menyaksikan penglibatan aktif pelajar, guru, kakitangan sekolah serta alumni yang bersama-sama menjayakan kejohanan dengan semangat kesukanan dan kebersamaan yang tinggi.

Majlis kejohanan tersebut telah dirasmikan oleh YBHG. SAC (Bersara) Datuk Shaharon Anuar bin Abdul Latif, mantan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang juga dikenali sebagai pelakon drama bersiri Gerak Khas, bersama YBHG Datin Norasmaria Basri.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), YH Dato’ Dr Mustaffa Idrus merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.

Menurut beliau, komitmen yang ditunjukkan oleh Pengetua sekolah, Cikgu Samsusudin, barisan pentadbir, khususnya Penolong Kanan Kokurikulum Cikgu Fadli, para guru, kakitangan serta jawatankuasa penganjur menjadi kunci kejayaan penganjuran kejohanan tersebut.

“Tidak dilupakan juga peranan besar Presiden Alumni, Tuan Farhan, serta guru sandaran yang turut menyumbang tenaga dan idea dalam memastikan kelancaran program ini,” katanya.

Tambah beliau, kejohanan sukan bukan sahaja menjadi platform mencungkil bakat pelajar dalam bidang sukan, malah berperanan penting dalam membentuk sahsiah, disiplin serta semangat kerjasama dalam kalangan pelajar.

“Lebih daripada itu, penganjuran ini turut memperkukuh jalinan silaturrahim antara pihak sekolah, ibu bapa dan alumni, sekali gus mewujudkan suasana harmoni dalam komuniti pendidikan,” tambahnya lagi.

Dato’ Mustaffa dan dif-dif jemputan bergambar kenangan bersama pasukan kadet polis yang muncul naib juara perbarisan

Kejohanan yang berlangsung dalam suasana penuh warna-warni itu turut menjadi simbolik kepada perjalanan 30 tahun kecemerlangan SMK Sungai Layar dalam melahirkan generasi pelajar yang seimbang dari segi akademik dan kokurikulum.

Beliau berharap agar semangat kebersamaan yang ditonjolkan dalam program ini akan terus diperkasakan pada masa akan datang demi memastikan kecemerlangan berterusan sekolah serta pembangunan generasi masa depan negara.

 

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.