“Saya pernah dipecat, UMNO perlu kepimpinan baharu”- Dato’ Mustafa

Dato' Dr Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI-Pengerusi Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Kedah, Dato’ Dr Mustafa Idrus, menegaskan bahawa UMNO kini berada pada persimpangan penting dan memerlukan pertukaran kepimpinan yang lebih bersih, berani serta berintegriti bagi mengembalikan kepercayaan orang Melayu.

Mengulas dakwaan kononnya Dr Muhamad Akmal Salleh ingin melepaskan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, beliau menyifatkan perkara itu sebagai isyarat jelas wujudnya tekanan dalaman terhadap pemimpin muda yang lantang mempertahankan prinsip perjuangan.

“Saya sendiri bekas Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tasek Gelugur yang pernah dipecat atas alasan sabotaj parti. Hakikatnya, banyak tindakan sebegini dibuat tanpa keadilan dan hanya menutup ruang kepada suara yang jujur,” katanya.

Menurut beliau, UMNO tidak boleh terus dipimpin oleh kelompok yang mementingkan kedudukan dan kepentingan peribadi, sebaliknya perlu digerakkan oleh barisan kepimpinan yang bersih dan berwibawa.

“UMNO perlu diganti dengan kepimpinan yang lebih bersih. Dr Akmal mempunyai potensi besar untuk memimpin perubahan ini dan menjadi pemimpin UMNO masa depan,” katanya.

Bagaimanapun, Dato’ Dr Mustafa mengingatkan agar Dr Akmal tidak terlalu lama menunggu sekiranya terus dipinggirkan oleh kepimpinan sedia ada.

“Jika suara dan perjuangannya terus diabaikan, jangan tunggu terlalu lama. Menjelang Pilihan Raya Umum akan datang, pilihan untuk keluar dan bertanding tetap terbuka. Perjuangan Melayu tidak terikat pada satu jawatan atau satu kelompok,” tegasnya.

Beliau menambah, sekiranya Dr Akmal memilih untuk berundur atau disisihkan, ia hanya akan memberi ruang kepada parti lawan untuk menilai UMNO sebagai parti yang gagal menghargai pemimpin berprinsip.

“Perjuangan tidak seharusnya berakhir dengan merajuk. Jika benar ingin membawa perubahan, lawanlah di pentas tertinggi parti. Ambil alih kepimpinan dan cabar kedudukan Presiden secara berani. Di situlah letaknya maruah seorang pejuang,” katanya lagi.

Sebelum ini, media melaporkan dakwaan bahawa Dr Muhamad Akmal Salleh menyatakan hasrat untuk melepaskan jawatan sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan ADUN Merlimau, namun perkara tersebut masih menjadi perbincangan dalam kalangan akar umbi parti.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.