Serang Renjer Thai, Pejuang Patani Maut Dikepung

Laporan: Fatimoh Ja’ae

Seorang lelaki bersenjata maut ditembak pasukan keselamatan selepas melepaskan tembakan ke arah anggota renjer Thailand dalam satu insiden di selatan negara itu, pagi tadi.

Kejadian berlaku di hadapan pangkalan tentera Thai Kampung Samakkhi, Daerah Rueso, Wilayah Narathiwat sekitar jam 6.40 pagi waktu tempatan.

Kemunculan suspek dalam rakaman CCTV yang tular mengundang persoalan ramai tentang identitinya.

Kebiasaannya, kumpulan pejuang Patani bertindak dengan menyembunyikan wajah, namun lelaki ini bertindak berani tanpa sebarang pelindung muka.

Dalam kejadian itu, suspek menunggang motosikal sambil memulas minyak dengan sebelah tangan dan melepaskan tembakan dengan tangan satu lagi sebelum memecut laju melalui kawasan bendang.

Bagaimanapun, kepungan ketat pasukan keselamatan menutup semua laluan, sebelum suspek akhirnya ditembak di kepala dan rebah di lokasi.

Suspek dikenali sebagai Arofad Jeh Na, 35 tahun. Pihak berkuasa turut merampas sepucuk senapang patah berkaliber 22 inci di tempat kejadian.

Mangsa sempat dihantar ke hospital, namun disahkan meninggal dunia tidak lama kemudian. Anggota renjer yang ditembak dilaporkan terselamat.

Salah satu kumpulan pejuang tempatan kemudian mengesahkan pemuda itu adalah anggota mereka, namun tidak menyatakan secara rasmi kumpulan mana yang diwakilinya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.