Dato’ Mustafa: “Kawah Ini Ruang Dakwah!” – Asyura Satukan Kg Seberang Baling

Kehadiran Dato' Mustaffa Idrus menyerikan lagi majlis diadakan

BALING– Suasana kampung Seberang Baling hari ini meriah dengan penganjuran program memasak bubur Asyura sempena sambutan 10 Muharam 1447H yang diadakan secara gotong-royong bersama penduduk.

Program ini menghimpunkan warga penduduk termasuk penyertaan istimewa dari anggota Balai Bomba dan Penyelamat Baling yang turun padang menyantuni masyarakat.

Turut hadir memeriahkan program ialah Pengerusi JPKK Kg Seberang Baling, Dato’ Halim bin Harun serta tetamu kehormat Dato’ Mustaffa Idrus dari Persatuan Angkatan Melayu Negeri Kedah (PAMM).

Bermula seawal pagi, penduduk bergilir mengacau bubur Asyura menggunakan kawah besar, dengan peranan aktif dimainkan oleh veteran kampung, belia dan sukarelawan. Anggota bomba turut berganding bahu bersama penduduk, mencetus suasana muhibah yang luar biasa.

Dato’ Mustaffa menyatakan bahawa program sebegini bukan hanya aktiviti kampung, tetapi medan perpaduan, ruang dakwah dan simbol kekuatan masyarakat Islam apabila digerakkan bersama.

“Bubur Asyura ini bukan hanya tentang resipi, tetapi tentang roh. Ia lambang kebangkitan ummah yang tahu erti pengorbanan, tahu nilai berjemaah dan faham tanggungjawab menyambung mata rantai perjuangan Islam,” katanya kepada media.

Beliau turut menekankan bahawa dakwah tidak harus menunggu pentas besar atau dewan berhawa dingin.

“Kawah Asyura ini adalah podium kita. Di sinilah lidah menyebut kebenaran, tangan memberi khidmat, dan hati menyatu demi Allah. Dakwah mesti digerakkan dari bumi kampung, inilah tapak kekuatan sebenar,” ujar beliau lagi.

Beliau berkata, penyertaan pasukan Bomba Baling bukan hanya memeriahkan suasana, malah mencerminkan hubungan mesra antara agensi keselamatan dan komuniti.Bubur Asyura yang siap dimasak diagihkan kepada penduduk kampung.

Mustaffa berkata, keseluruhan program berlangsung dalam suasana penuh adab dan harmoni, mencerminkan kekuatan komuniti Islam apabila disatukan atas dasar iman, kasih sayang dan perjuangan.

Mustaffa menambah, kawah digunakan untuk memasak bubur adalah simbol kepada penyatuan.

“Ini kawah penyatuan. Kawah pendidikan. Kawah pembinaan ummah. Dari sinilah lahirnya semangat, dari senduk yang dipegang bersama, dari peluh yang menitis demi ukhuwah, dari rasa bubur yang dikongsi sesama jiran,”katanya.

Mustaffa turut menyentuh isu keretakan dalam masyarakat hari ini yang berpunca daripada hilangnya roh berjemaah dan sifat mengambil berat sesama umat.

“Kita boleh berbeza pendapat, tetapi jangan bercerai hati. Selagi kita bersama dalam kawah perjuangan, kita tidak akan jatuh. Yang melemahkan kita ialah apabila kita memilih untuk menjadi penonton, bukan pejuang,” katanya.

Beliau juga menyeru generasi muda agar bangkit dan menyertai program-program seumpama ini bukan kerana populariti, tetapi kerana inilah ruang membina jiwa dan jatidiri.

“Anak muda yang kenal nilai Asyura, insya-Allah akan kenal makna pengorbanan. Dan yang kenal pengorbanan, tidak akan duduk diam melihat Islam dilecehkan,” tambahnya.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.