Kampung Baru: beli harga tinggi sukarkan orang Melayu beli semula hartanah di situ

KUALA LUMPUR– Kos pembangunan di Kampung Baru akan meningkat sekiranya kerajaan menawarkan pembelian harga tanah pada kadar semasa.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, tindakan membeli pada kadar semasa akan menyukarkan orang Melayu membeli semula hartanah di Kampung Baru, sedangkan kerajaan mahu penghuninya terdiri daripada orang Melayu itu sendiri.

Menurutnya, orang Melayu tidak akan masuk semula ke Kampung Baru sekiranya kerajaan mengikut harga pasaran.

“Kita lihat di mana orang Melayu memiliki tanah, mereka miskin, mereka jual dengan harga yang baik tetapi mereka tak dapat balik dah (hartanah berkenaan).

“Tanah itu akan dimiliki orang lain. Tetapi Kampung Baru ini, kita perlu penghuninya terdiri daripada orang Melayu dan kebanyakan orang Melayu tak (mampu) beli pada harga mahal,”katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Terdahulu, Dr Mahathir menyempurnakan Ekspo Peralatan Perubatan Malaysia (MEDEX) di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad semalam dilaporkan berkata, kerajaan akan membuat tawaran baharu dan muktamad kepada pemilik tanah Kampung Baru bagi menyelesaikan isu pembangunan kampung berkenaan.

Menjelaskan perkara itu, Dr Mahathir berkata, kerajaan hanya menawarkan kadar istimewa kepada pemilik terbabit supaya unit hartanah dibangunkan dapat dibeli semula oleh mereka.

Pengumuman harga baru itu dijangka akan diumum pada minggu depan.

Kerajaan sebelum ini menawarkan harga RM850 bagi setiap kaki persegi dan kadar itu dibantah ramai pemilik tanah Kampung Baru.

Rentas7.com

Photo: Fb Dr Mahathir Mohamad

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.