22 disyaki pengganas ditahan

INDONESIA– Seramai 22 individu disyaki pengganas ditahan pasukan keselamatan Indonesia di beberapa daerah negara ini.

Jumlah terkini itu merupakan tangkapan yang dibuat sejak 10 Oktober lalu hingga hari ini.

Ia susulan insiden menimpa Menteri Koordinator Politik Hukum dan keamanan, Wiranto yang diserang dua individu ketika melakukan Kunjungan di wilayah Menes Pandeglang, Banten pada 10 Oktober lalu.

Memetik Kompas.com, semua suspek yang ditahan anggota Detasemen khusus (Densus) 88 Anti pengganas disyaki berbaiah dengan organisasi pengganas, ISIS.

Dalam insiden melibatkan Wiranto, menteri berkenaan ditusuk dua kali dengan senjata tajam di bahagian badan.

Berdasarkan video yang tular, Wiranto yang dikelilingi tiba-tiba diserang seorang lelaki tidak dikenali ketika turun dari kereta.

Lelaki itu kemudian berjaya ditahan anggota keselamatan yang berkawal di kawasan tersebut.

Tribunnews.com melaporkan, seorang lagi penyerang wanita cuba bertindak untuk menikam mangsa namun digagalkan.

CNN Indonesia melaporkan, polis Indonesia mengesahkan pelaku terbabit mempunyai jaringan dengan Jemaah Ansharut Daulah.

Bagaimanapun lapor Kompas.com, masih ramai rakyat negara itu beranggapan kejadian itu hanya dirancang.

Salah satu status daripada akaun Twitter milik@Nazar81019243 menyoal kesahihan kejadian itu.

Insiden menimpa Wiranto turut mendapat liputan meluas media antarabangsa.

Rentas7.com

 

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.