BERJASA beri isyarat untuk bertanding lagi di kerusi Melayu

KUALA LUMPUR– BERJASA konsisten bahawa kawasan majoriti Melayu perlu diwakili wakil rakyat daripada orang Melayu.

Pendirian itu memberikan isyarat bahawa BERJASA mungkin akan masuk sebagai “pengacau” di kawasan majoriti Melayu pada pilihan raya akan datang sekiranya situasi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai berulang.

PRK Tanjung Piai menyaksikan PAS dan Umno merelakan calon bukan Melayu bertanding di kawasan berkenaan.

Kawasan Tanjung Piai  mempunyai pecahan kira-kira 57 peratus pengundi Melayu, 42 peratus Cina dan satu peratus India.

Ketua Penerangan BERJASA Pusat, Hazwan Mohamad berkata, pendirian itu selari dengan prinsip parti.

“Sebagai sebuah parti politik yang berprinsip, BERJASA tetap konsisten bahawa kawasan majoriti Melayu perlu diwakili oleh seorang wakil rakyat Melayu,”katanya semalam.

Petugas BERJASA sewaktu kempen di Tanjung Piai

Beliau berkata, perjalanan BERJASA masih jauh, namun parti itu tetap akan menyedarkan masyarakat tentang kepentingan kuasa politik orang Melayu.

“BERJASA akan terus berjuang terutamanya dalam mendidik masyarakat tentang peri pentingnya mengembalikan dominasi kuasa politik orang Melayu demi kesejahteraan Malaysia.

“Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pengundi-pengundi BERJASA yang telah memilih untuk bersama dalam perjuangan serta misi mengembalikan semula dominasi orang Melayu di Parlimen tanpa mengetepikan kaum-kaum lain di Malaysia,”katanya.

BERJASA kekal pendirian untuk bertanding di kawasan majoriti Melayu

Dalam pada itu, Hazwan berkata, partinya menerima keputusan PRK dengan hati terbuka dan merakam sekalung tahniah kepada BN yang berjaya merebut kerusi Parlimen Tanjung Piai.

PRK Tanjung Piai membabitkan pertembungan enam penjuru melibatkan Bersatu- PH, MCA- BN, GERAKAN, BERJASA, dan dua calon bebas.

Calon BN Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng diumumkan pemenang PRK Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti besar iaitu 15,086 undi.

Beliau menerima undi sebanyak 25,466 daripada 128 peti undi.

Mengikuti jauh adalah calon PH, Karmaine Sardini dengan 10,380 undi.

Wendy Subramaniam daripada GERAKAN hanya meraih 1,707 undi manakala calon BERJASA iaitu Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (gambar) hanya menerima 850 undi.

Dua lagi calon bebas, Dr Ang Chuan Lock mendapat undi kedua terendah iaitu 380 undi dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar menerima 32 undi.

GERAKAN, BERJASA dan dua lagi calon bebas hilang wang deposit.

Rentas7.com/ Foto BERJASA

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.