Tedung selar “check in” homestay

Anggota APM Sik berjaya menjerut tedung selar sepanjang 3.65 meter malam tadi

SIK-Seorang lelaki yang sedang mengemas bilik gempar dengan kehadiran seekor ular tedung selar sepanjang 3.65 meter.

Kejadian berlaku di sebuah rumah inap desa di Kampung Kemelong semalam.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sik, Lt.(PA) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata, lelaki dikenali Saiful,37, yang juga pemilik rumah inap desa berkenaan segera menghubungi pihaknya sebaik terserempak dengan reptilia itu.

Menurutnya, APM Sik yang menerima panggilan sekitar jam 7.27 malam bergegas ke lokasi.

“Reptilia seberat 20 kilogram berkenaan berjaya dijerut menggunakan peralatan khas selepas 24 minit berikutan ular berkenaan agresif dan bersembunyi di dalam lubang tiang simen berhampiran homestay

“Musim kemarau sekarang menyebabkan haiwan berkenaan mencari tempat sejuk untuk berteduh,” katanya.

Sehubungan itu beliau menasihati orang ramai berhati-hati setiap masa dan segera hubungi APM Sik di talian 04 469 8221 jika terdapat sebarang kecemasan.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.