Tangkapan ular di SIK meningkat

SIK– Jumlah tangkapan ular oleh Angkatan Pertahanan Awam (APM) SIK di beberapa kediaman di sini meningkat berikutan cuaca panas dan kering.

Pegawai Pertahanan Awam daerah Sik, LT (PA) Haisul Aishah Mohd Napiah berkata, berbanding bulan November lalu yang mencatatkan hanya 18 kes tangkapan ular,  jumlah reptilia itu ditangkap pada Disember tahun sama meningkat kepada 30 kes.

Menurutnya,  punca reptilia tersebut bertindak agresif pada musim panas kerana ia mudah lapar selain faktor salin kulit atau habitatnya diganggu.

“Dalam dua hari, kita menerima panggilan kes berkaitan ular dan berjaya menangkap tiga ekor ular berbisa. Sebanyak 30 ekor ular yang ditangkap adalah dari kawasan kediaman.

“Antara ular paling banyak ditangkap ialah ular sawa, tedung senduk dan tedung selar,”katanya kelmarin.

Anggota APM SIK menunjukkan salah seekor ular yang berjaya ditangkap

Beliau berkata, ular kebiasaannya menyorok di dalam kasut, almari, bawah katil serta bilik air.

“Oleh itu orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika memakai kasut serta menggunakan tandas kerana dikhuatiri ada ular menumpang teduh,”katanya.

Tambahnya, bagi meningkatkan kemahiran anggota menangkap reptilia menggunakan alatan khas, mereka diberikan latihan melalui kursus yang diadakan di pusat latihan APM terpilih.

Orang awam yang berdepan sebarang kes kecemasan boleh menghubungi APM SIK di talian 04-4698221.

 

Rentas7.com/ Foto: APM SIK

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.