Stabilkan negara dulu, baru fikir tarikh PRU-15

Datuk Mustaffa Idrus

SUNGAI PETANI-Semua wakil rakyat dinasihati tidak menjadikan politik sebagai satu mainan sehingga mahu mengadakan tarikh PRU-15 ketika negara sedang dilanda inflasi.

Persatuan Angkatan Masyarakat Melayu (PAMM) Negeri Kedah, Datuk Mustaffa Idrus berkata, tiada keperluan mengadakan PRU-15 pada tahun ini seperti mana desakan oleh pihak-pihak tertentu.

“Stabilkan ekonomi dan kehidupan rakyat barulah memikirkan pilihanraya demi mengejar kuasa dan demi menstabilkan kedudukan masing masing.

“Fikirkanlah kesusahan rakyat dan negara. Bukan pentingkan wang dan kuasa,”katanya kepada pemberita hari ini.

Mustaffa berkata, pertukaran kerajaan ketika negara dan seluruh dunia menghadapi inflasi akan mengheret negara kepada ketidaktentuan ekonomi dan politik yang rumit.

“Apabila dua item ini tidak selari, PAMM bimbang Malaysia menuju krisis seperti mana berlaku di Sri Lanka.

“Situasi di sana tidak mustahil boleh berlaku di negara ini, kerakusan mengejar pangkat dan kedudukan boleh menghancurkan sesebuah negara dengan cepat.

“Sebelum ini ia sudah terbukti berlaku di negara -negara Timur Tengah dan kita tidak mahu Malaysia diheret seperti itu,”katanya.

Justeru, Mustaffa berpendapat, kerajaan dan pembangkang perlu meneruskan genjatan politik sehingga tarikh PRU-15 betul-betul matang, bukan separa matang atau separuh matang.

“Tarikh ideal untuk adakah PRU-15 ialah pada Mei 2023 kerana pada tarikh itu genaplah lima tahun. Maka berikan laluan kepada kerajaan menguruskan negara dengan baki masa yang ada,”katanya.

Dalam pada itu, Mustaffa berkata, kerajaan perlu bijak mengeluarkan negara daripada inflasi kerana ia salah satu faktor penting untuk kekalkan keamanan negara.

RENTAS7

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.