PSSI gagal kota janji

KUALA LUMPUR- Perlawanan pertama kelayakan Piala Dunia 2022 antara Malaysia dan Indonesia malam tadi berlangsung begitu sengit.

Kedua-dua pasukan menunjukkan permainan berkualiti sepanjang 98 minit tempoh permainan di mana kemenangan memihak Malaysia dengan keputusan 3-2.

Namun, di sebalik perlawanan tumpuan ramai itu dicemari dengan aksi sebahagian penyokong Indonesia yang melakukan kekacauan dalam stadium.

Insiden itu membuka mata pelbagai pihak yang mahukan Indonesia dikenakan tindakan tegas oleh FIFA.

Berikut kenyataan terbuka oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung kejadian yang berlaku.

FAM amat kecewa dengan gangguan penyokong pada perlawanan Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, antara Indonesia  dan Malaysia di Stadium Utama Gelora Bung Karno, semalam.

‘Fairplay’ dan professionalism telah dipamerkan oleh pemain dan pegawai kedua-dua negara, tetapi perlawanan dicemari oleh insiden di luar padang.

FAM anggap negara jiran kita, Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI), melalui pihak kuasa tempatan gagal menjangkakan insiden yang telah berlaku justeru gagal mengotakan janji yang diberikan mereka secara umum untuk perlawanan ini, dan juga gagal mengawal sikap penyokong sepanjang pra mahupun ketika serta selepas perlawanan berlangsung sekaligus mencemarkan imej bola sepak Indonesia.

Memandangkan FAM dan PDRM tidak mempunyai bidang kuasa di Indonesia, kami mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan melalui dua mesyuarat bertarikh 20 Ogos dan 27 Ogos 2019 yang turut dihadiri oleh Timbalan Komander Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU), ACP Kamarulzaman Maarof, sebagai persiapan langkah keselamatan yang diperlukan untuk  perjalanan penyokong negara.

Walaupun disediakan polis pengiring dari lapangan terbang ke stadium dan sebaliknya khusus untuk kira-kira 300 penyokong dalam 6 bas, keadaan tetap menjadi huru-hara dan kami berasa amat kecewa dengan jawatankuasa pengelola tempatan berikutan kegagalan mereka menunaikan janji serta persefahaman yang dicapai.

Tidak ada tempat dalam sukan bola sepak untuk gejala hooliganisme dan gangsterisme dan oleh itu, kami telah membuat keputusan untuk mengambil tindakan dan sedang mengumpul bukti kukuh bagi melaporkan kejadian semalam kepada Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Justeru, bagi penyokong Malaysia yang masih berada di Indonesia, kami mendoakan keselamatan anda di sana dan moga selamat pulang ke Malaysia. Terima kasih atas sokongan padu anda terhadap skuad kebangsaan, Harimau Malaya dan kami juga menggesa anda untuk mengelakkan sebarang bentuk provokasi yang boleh menyebabkan kemudaratan kepada diri sendiri mahupun rakyat Indonesia.

Penyokong Malaysia secara umumnya dilihat bertindak balas secara positif malam tadi dan tidak mengikut sebarang provokasi.

Lantaran itu, kami nasihatkan anda untuk kekal sabar dan terus menghormati penyokong luar ke negara kita – sama ada peminat Indonesia, UAE, Thailand atau Vietnam  terhadap semua perlawanan yang akan berlangsung di Stadium Nasional nanti.

Rentas7.com

rentas7
Rentas7.com ialah media alternatif yang tepat dan benar kepada orang ramai.